Uncategorized

CAEXPO 2019: Syarikat PKS diseru tambah nilai produk supaya lebih diyakini



NANNING: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menyertai Ekspo ASEAN China (CAEXPO) 2019 perlu memberi tambah nilai kebergantungan serta kebolehpercayaan yang tinggi terhadap produk mereka kepada pembeli.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking, perkara itu menjadi pesanan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada beliau untuk disampaikan kepada syarikat PKS yang menyertai ekspo tersebut.

“Kepercayaan itu sangat penting untuk meyakinkan pembeli serta peniaga dari China yang datang ke ekspo ini.

“Anda semua bukan sahaja menjual kepada pasaran China, tetapi ekspo ini adalah platform kepada pasaran dunia dalam masa yang sama.

“Terdapat banyak produk tempatan yang telah saya lihat sepanjang saya dilantik menjadi menteri dan saya sendiri membelinya kerana terdapat kepelbagaian yang harus dibanggakan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam bersama Syarikat PKS tempatan di Nanning, China, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Darell turut menggesa syarikat PKS yang menyertai CAEXPO 2019 untuk berdagang sesama sendiri supaya masing-masing lebih mengenali produk Malaysia dan dapat menjualnya kepada pihak lain.

“Terdapat banyak PKS dari Sabah, Sarawak, Pahang, Penang, Johor, Melaka, malah semua negeri boleh berdagang sesama sendiri di ekspo ini.

“Esok, apabila bermulanya ekspo, anda (PKS) akan menjual produk, bakat serta mempromosikan Malaysia sebagai destinasi yang menjadi sumber pelbagai produk seperti makanan dan minuman serta perkhidmatan kepada seluruh dunia,” jelasnya.

CAEXPO 2019 merupakan edisi ke-16 yang berlangsung di Nanning dari 21 hingga 24 September.

Inisiatif oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) ini merekodkan jualan bernilai RM639.66 juta pada tahun 2018 dan menyasarkan nilai yang sama bagi tahun ini.





Source link

Related Posts