Uncategorized

CAEXPO bantu lebih 1,700 PKS tembusi pasaran besar China



NANNING: Lebih 1,700 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia telah berjaya menembusi pasaran besar China melalui pameran Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) sejak dianjurkan pada 2004.

Dalam usaha memperkasakan PKS yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara, MATRADE membuka platform penerokaan pasaran China dan negara lain kepada PKS dalam perdagangan pelaburan dan pelancongan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa CAEXPO 2019 kali ke-16 akan diadakan bermula 21 hingga 24 September disertai 167 PKS di seluruh negara.

“Kami secara agresif mempromosikan produk Malaysia untuk dieksport ke China dan sejak dua dekad Suruhanjaya Perdagangan telah mengkaji data pembeli dan rakan kongsi yang boleh dipadankan dengan PKS tempatan.

“CAEXPO adalah platform untuk mencipta persekitaran perniagaan yang kondusif serta menggalakkan aliran pelaburan dan pelancongan antara kedua negara.

“Saban tahun, Pavilion Malaysia sentiasa menjadi salah satu tempat pameran perniagaan yang utama di CAEXPO kerana pengguna di China mengetahui produk-produk Malaysia yang berkualiti tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Tahun ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking mengetuai delegasi syarikat Malaysia ke CAEXPO 2019 yang menyasarkan jualan bernilai RM650 juta.

Untuk tahun lalu, sebanyak RM639.66 juta nilai jualan syarikat Malaysia dicatatkan, peningkatan sebanyak 58 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Antara sektor yang dipromosikan di CAEXPO termasuk makanan dan minuman, kesihatan, gaya hidup perkhidmatan seperti pelancongan dan francais.

Selain sektor swasta, tahun ini terdapat 12 agensi kerajaan yang mengambil bahagian dalam CAEXPO antaranya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Pelancongan Selangor, Pelaburan Selangor Berhad dan banyak lagi.

Lebih menarik, Malaysia turut menganjurkan ‘City of Charm’ yang mempamerkan keunikan serta tarikan tersendiri negeri di Malaysia dan tahun ini Selangor menjadi pilihan.

Di samping itu, Sidang Kemuncak Pelaburan Perniagaan China ASEAN (CABIS) juga akan diadakan dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

China menjadi rakan dagangan terbesar negara sejak 2009 dan jumlah perdagangan Malaysia dengan China meningkat 8.1 peratus kepada RM313.81 bilion pada 2018, berbanding RM290.40 bilion yang dicatatkan pada 2017.

Eksport Malaysia ke China bernilai RM138.88 bilion manakala import sebanyak RM174.93 bilion.





Source link

Related Posts