Artikel Terkini

CIMB sasar 20,000 peniaga PKS muat turun penyelesaian pembayaran baharu



KUALA LUMPUR: CIMB Group menyasarkan untuk mencatatkan sekurang-kurangnya sebanyak 20,000 peniaga memuat turun CIMB Tap n Pay pada tahun depan, penyelesaian pembayaran yang memproses urus niaga kad debit menggunakan peranti mudah alih android sebagai terminal penerimaan pembayaran.

Dalam kenyataan pada Selasa, katanya CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd bekerjasama dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) untuk memperkenalkan penyelesaian tersebut.

“Kemudahan itu merupakan alternatif yang berdaya maju bagi terminal jualan (POS) yang konvensional, khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro,” menurut kumpulan perkhidmatan kewangan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbankan Komersial CIMB Group Victor Lee berkata cadangan perniagaan PKS baharu CIMB membawa kepada kerjasama CIMB-PayNet di bawah teras CIMB SME Transact, yang membolehkan PKS mikro mempunyai akses kepada penyelesaian pembayaran digital yang mudah, lancar dan selamat untuk keperluan pembangunan mereka.

“Dengan PayNet, kami menolak sempadan membolehkan PKS mendapat manfaat daripada kepakaran pasaran dua jenama yang kukuh bagi menyokong pertumbuhan mereka.

“Ini sejajar dengan strategi pertumbuhan CIMB Forward23 untuk memberi tumpuan kepada teknologi dan data dengan menggalakkan inovasi digital bagi memberi manfaat kepada pelanggan kami,” katanya.

Sementara itu, CEO kumpulan PayNet dan pengendali skim kad debit nasional MyDebit, Peter Schiesser, berkata: “Kami melihat potensi kepada pengurangan kos yang ketara dan akses yang lebih baik kepada peniaga untuk menerima pembayaran kad.”

Beliau berkata segmen seperti penjaja dan peniaga pasar malam boleh melakukan urus niaga tanpa tunai dengan hanya menggunakan telefon pintar mereka sebagai terminal POS untuk mengutip pembayaran kad debit daripada pelanggan mereka.

“Impaknya ialah masalah kumpulan peniaga ini berkaitan dengan kos terminal POS yang akan menjadi perkara pada masa lalu dengan penyelesaian ini,” katanya.

CIMB Tap n Pay boleh dimuat turun di peranti mudah alih android dan boleh didapati pada masa ini untuk semua urus niaga MyDebit tanpa sentuh di bawah RM250 tanpa PIN.

— BERNAMA





Source link

Related Posts