Artikel Terkini

Ciri-Ciri Susun Atur Dapur Ringkas, Praktikal Dengan Citarasa Elegan


Antara perkara paling penting yang perlu anda titikberatkan sebelum mengubahsuai atau membina dapur impian adalah kesesuaian saiz dengan konsep yang diingini. Tidak semua konsep sesuai untuk sebarang saiz. Oleh itu, lakukan kajian atau research yang menyeluruh terlebih dahulu sebelum memulai proses tersebut.

Selain itu, pemilik juga wajar mendapatkan pandangan dan nasihat dari pakar kerana terdapat beberapa perkara yang mungkin memerlukan lebih penelitian dan pengamatan. Dengan mengambil kira pendapat dari yang lebih arif, peratusan untuk pemilik kecewa dikemudian hari dapat dikurangkan.

Melangkah masuk ke rumah baharu di Semenyih ini, dapat penulis rasakan aura yang cukup lapang dan nyaman. Dengan pemilihan konsep yang ringkas tetapi masih lagi mempunyai karakternya yang tersendiri, kediaman ini cukup lengkap untuk tuan rumah sekeluarga.

“Sesuaikan tema dekorasi dengan keluasan ruang anyg ada untuk mencipta ruang elegan yang tidak terlalu sarat”, menurut Encik Aidan selaku pereka bentuk dalaman ruang dapur kediaman ini.

Ruang tampak tersusun dengan gabungan gaya moden industrial pada bahagian ruang tamu dan lebih kepada minimal scandinavian di ruangan dapur. Walaupun dengan konsep yang berbeza, keharmonian antara kedua-dua penataan ruang ini jelas terlihat kerana pemilihan bahan serta warna yang digunakan juga selari.

KESINAMBUNGAN RUANG
Dengan pelan lantai terbuka, pembahagian ruang dengan bijak adalah amat penting. Perancangan ruang yang teliti mampu menjadikan kediaman lebih teratur dan selesa, selain lebih praktikal untuk pemilik melakukan aktiviti harian. Dari ruang tamu, ke ruang makan, dan seterusnya ke ruang dapur, penulis dapat lihat ‘flow’ atau aliran yang seimbang tanpa menjejaskan gaya dari konsep pilihan pemilik.

Untuk membahagikan ruang makan dengan ruang dapur, pemilik meletakkan pembahagi dari material besi bagi meneruskan konsep industrial dari ruang tamu. Penggunaan pembagai ruang tersebut telah mewujudkan ilusi ruang yang luas terbuka tetapi dalam masa yang sama masih lagi memberi privasi kepada pengguna dapur.

ELEMEN SEMULAJADI
Pemilihan bahan atau material untuk dapur ini telah dilakukan dengan penuh ketelitian oleh perekanya. Dengan berpandukan minimal scandinavian, rona earthy yang lebih neutral telah menjadi pilihannya. Beliau juga menerapkan eleman semulajadi seperti kayu pada rekabentuk dapur ini.

“Gabungkan warna polos dengan tekstur dari bahan semulajadi seperti kayu, batu marmar, konkrit dan sebagainya sebagai asen bagi mendapatkan harmoni serta keseimbangan dalam ruang yang sempurna”, kata Aidan lagi.

+ INFO KEDIAMAN
Nama Pemilik : Talib Sabri Sulaiman & Nurmisuarina Yahya
Nama Pereka : Muhamad Adian Akmar
Jenis Kediaman : Semi D
Keluasan Dapur : 128 kaki persegi
Konsep Dapur : Moden Scandinavian
Lokasi : Semenyih



Source link