Uncategorized

Cisco mahu sediakan dunia untuk perkhidmatan 5G dan Wifi 6

Cisco mahu sediakan dunia untuk perkhidmatan 5G dan Wifi 6 1


SAN DIEGO: Di ketika peralatan telekomunikasi 5G menjadi antara punca pertelingkahan antara dua kuasa besar dunia, gergasi teknologi Amerika Syarikat, Cisco berkata ia akan terus bertumpu kepada matlamatnya tanpa menghiraukan konflik tersebut.

“Kami tidak akan menjadikan perang perdagangan antara Amerika dan China sebagai strategi jualan.

“Saya tidak mahu pasukan jualan kami mengambil kesempatan ke atas situasi geopolitik kini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Cisco, Chuck Robbins.

Robbins berkata, matlamat syarikat itu kini adalah memastikan dunia bersedia untuk teknologi 5G dan Wifi 6 yang akan diguna pakai tidak lama lagi.

Wifi 6 adalah versi wifi terbaru yang dua kali ganda lebih pantas berbanding wifi yang digunakan kini, Wifi 5.

Ia juga dikatakan lebih selamat dan menjimatkan bateri peranti.

Syarikat itu bagaimanapun berkata, tidak dapat dielakkan pengenalan 5G and Wifi 6 akan turut ‘menjemput’ ancaman keselamatan yang baru dan lebih pelbagai.

“Sewaktu syarikat melabur lebih banyak ke dalam teknologi digital masing-masing, pasukan teknologi mereka bertungkus-lumus untuk memikul tugas yang semakin banyak dan sukar,” kata Cisco dalam kenyataan yang diterbitkan sempena acara Cisco Live! yang bermula pada 9 Jun 2019.

Syarikat itu berkata, hampir dua pertiga syarikat yang ditinjau berkata tugasan pasukan teknologi mereka bertambah, tetapi hanya satu pertiga daripada syarikat mahu menambah besar jabatan teknologi masing-masing.

Justeru katanya, penting untuk Cisco membantu syarikat di seluruh dunia untuk memastikan jaringan teknologi dan infrastruktur mereka selamat dan tidak mudah digodam.

Menurut Cisco, dua perkara penting untuk pelaksanaan 5G dan Wifi 6 adalah peranti baru yang mempunyai keupayaan berkenaan, selain bantuan kerajaan untuk membina ekosistem yang diperlukan.

Ditubuhkan pada 1984, perniagaan terbesar Cisco adalah membekalkan perkakasan dan perisian jaringan di peringkat industri, iaitu kepada syarikat dan kerajaan di serata dunia.

“Usaha untuk merapatkan jurang antara keperluan dan sumber syarikat memerlukan proses automasi jaringan dan alatan analitik yang inovatif, dibantu oleh data, kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran komputer (machine learning).

Acara Cisco Live! diadakan setiap tahun sejak 1989 bagi mempamer dan melancarkan pelbagai produk jaringan baru yang dihasilkan Cisco untuk syarikat dalam pelbagai sektor.

Robbins berkata, setiap syarikat di dunia kini perlu meletakkan pendigitalan sebagai keutamaan mereka jika mahu terus berjaya, tanpa mengira dalam sektor mana mereka beroperasi.

“Di Cisco Live!, anda kini berada di pusat di mana strategi setiap syarikat di dunia dirancang,” katanya sewaktu memberi ucap tama pada pembukaan acara itu hari ini.

Ketika ditanya sama ada pertelingkahan perdagangan Amerika-China kini akan memberikan kesan kepada pelaksanaan 5G, Robbins kekal optimistik bahawa pengenalan teknologi itu tidak akan tergendala.

Amerika mengharamkan syarikatnya melakukan sebarang perniagaan atau operasi dengan syarikat teknologi China, Huawei, dengan menyatakan sebab, antara lain, bahawa infrastruktur 5G Huawei digunakan oleh China untuk mengintip negara lain.

“Masih ramai yang tidak tahu mengenai teknologi 5G, sebagai contoh, bukan hanya ada satu penyedia perkhidmatan atau infrastruktur di dunia (sehingga pelaksanaan 5G boleh lumpuh akibat pertelingkahan Amerika-China),” katanya.

Sementara itu menurut Ketua Pegawai Strategi Cisco, Anuj Kapur, beberapa faktor menentukan kepantasan setiap negara boleh mengambil pakai dan melaksanakan 5G dan Wifi 6 sepenuhnya.

“Sesetengah negara mempunyai infrastruktur internet berwayar yang rumit, jadi negara-negara ini akan mengambil masa lebih lama untuk menyesuaikan infrastruktur tanpa wayar mereka untuk melaksanakan Wifi 6 dan 5G,” katanya.

Tambahnya, penting untuk pengeluar telefon pintar mengeluar telefon pintar baru yang mempunyai keupayaan 5G dan Wifi 6 secepat mungkin.

Beliau menambah, ia juga penting untuk kerajaan bekerjasama dengan menyediakan spektrum 5G dengan pantas dan meluas.

“Semua isu ini kita hadapi sewaktu mahu mulakan 3G pada tahun 2000 dahulu, tetapi kita berjaya laksanakan 3G di kebanyakan negara kini,” katanya.





Source link

Related Posts