Artikel Terkini

COVID-19 : 3.28 Juta Rakyat Amerika Syarikat Hilang Pekerjaan Dalam Tempoh 7 Hari


Impak negatif pandemik koronavirus semakin jelas di Amerika
Syarikat dengan jumlah rakyat Amerika Syarikat yang mendaftar untuk mendapatkan
faedah pengangguran melonjak ke paras tertinggi 3.28 juta orang.
Hal ini diumumkan oleh Jabatan Buruh
negara itu pada Khamis (27 Mac 2020) dalam laporan yang dibuat setiap minggu.

Peningkatan ini jauh lebih tinggi berbanding tuntutan faedah
pengangguran yang dicatatkan pada minggu sebelum itu sebanyak 282,000
permohonan pada minggu berakhir 14 Mac 2020.

Laporan ini juga menunjukkan sejumlah 1.803 juta orang telah menerima insurans pengangguran setakat ini. Data ini menunjukkan gambaran jelas impak negatif koronavirus terhadap ekonomi.

Minggu lalu, bank pusat Amerika Syarikat (Federal Reserve)
telah mengumumkan rangsangan monetari dengan menawarkan pelonggaran kuantitatif
tanpa had bagi memastikan jumlah kredit kekal mencukupi dalam sistem kewangan
negara itu.

Pemberhentian Pekerja Kini Bermula

Usaha pembendungan penularan virus Covid-19 menyebabkan
perubahan yang benar-benar drastik dalam masa seminggu. Syarikat-syarikat
memberhentikan pekerja seterusnya mereka yang terkesan membanjiri pejabat buruh
bagi mendapatkan faedah pengangguran.

Walaubagaimanapun, terdapat laporan bahawa ramai daripada
mereka tidak berjaya mendapatkan faedah tersebut kerana jumlah permintaan yang
tinggi dalam satu masa.

Harus diingat, jumlah sebenar yang kehilangan pekerjaan
mungkin lebih tinggi kerana tidak semua orang dapat memohon faedah
pengangguran. Ada yang tidak berkelayakan dan gagal menembusi capaian laman web
Jabatan Buruh untuk memohon faedah tersebut.

Kadar pengangguran semasa di Amerika Syarikat adalah 3.5%
sebelum penularan Covid-19. Ia adalah kadar terendah yang pernah dicapai sejak
50 tahun yang lalu, menunjukkan pasaran buruh negara Uncle Sam ini berada di
paras terbaik dalam sejarah.

Jika mengambil kira jumlah tuntutan pengangguran yang
dicatatkan pada minggu lalu, ia adalah tambahan 2% kepada kadar pengangguran
semasa.

Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang banyak bergantung
kepada perbelanjaan pengguna dengan kebergantungan yang tinggi terhadap sektor
perkhidmatan sebanyak 70%. Bagi meningkatkan perbelanjaan domestik, pasaran buruhnya
mestilah berada dalam keadaan optimum dengan kadar pengangguran tidak melebihi
5%.

Pengangguran Bakal Cecah Jumlah Tertinggi Dalam Sejarah

Pemberhentian pekerja dijangka akan terus meningkat dengan
keadaan ekonomi Amerika Syarikat yang semakin merosot. Pendapatan perniagaan
seperti restoran, hotel, pawagam, gymnasium dan syarikat penerbangan jatuh
dengan mendadak. Jualan kereta turut merudum dan kilang-kilang pembuat kereta
telah ditutup.

Kebanyakan daripada majikan berhadapan dengan kekangan untuk
membayar pinjaman mereka dan terpaksa mengurangkan pekerja bagi tujuan
penjimatan.

Dengan peningkatan jumlah pengangguran, ada penganalisa
ekonomi berkata kadar pengangguran berkemungkinan mencapai paras 13% menjelang
bulan Mei. Secara perbandingan, kadar pengangguran paling tinggi pernah
direkodkan di Amerika Syarikat semasa ‘Great Recession’ tahun 2008
adalah 10%.

“Apa yang dilihat mustahil dua minggu lalu kini menjadi
realiti,” demikian kata Nancy Vanden Houten, penganalisa ekonomi di Oxford
Economics. “Ekonomi Amerika Syarikat akan berhadapan dengan kemelesetan
besar ekonomi dengan peningkatan kadar pengangguran paling tinggi pernah
dicatatkan.”

Mark Zandi, ketua penganalisa ekonomi di Moody’s Analytics
menganggarkan penularan koronavirus bakal menyebabkan 7.5 juta pekerja
kehilangan pekerjaan. Kebanyakannya akan berlaku pada suku kedua tahun 2020 di
mana kadar pengangguran semasa 3.5% melonjak ke paras 10%.

Pengerusi Federal Reserve cawangan St. Louis, James
Bullard berkata pihaknya menganggarkan kadar pengangguran akan mencapai 30%.

Dengan jumlah pekerja diberhentikan semakin meningkat, faedah
pengangguran untuk jutaan rakyat Amerika Syarikat telah diambil kira dan
termasuk dalam pakej rangsangan yang dicadangkan oleh Presiden Trump.

Setiausaha perbendaharaan, Steven Mnuchin mendakwa data yang
dikeluarkan pada Khamis adalah tidak relevan kerana pihak Kongres Amerika
Syarikat semakin hampir untuk meluluskan pakej rangsangan ekonomi yang bakal
memanfaatkan semua pihak di negara itu.

Pakej ini bakal memberikan bayaran upah penuh selama empat
bulan berturut-turut kepada penganggur dan pembayaran ‘one-off’ US$1,200 kepada
orang dewasa di Amerika Syarikat. Pakej ini juga termasuk ratusan billion Dolar
AS dalam bentuk pinjaman kepada perniagaan, hospital, dan kerajaan-kerajaan
tempatan.

Persoalannya sekarang, bagaimana aktiviti ekonomi akan terus
berjalan jika orang ramai bimbang untuk melakukan aktiviti di luar rumah?

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.



Source link