Artikel Terkini

COVID-19: Beri ulasan berbaur fitnah, rakyat Malaysia ajar ahli politik Taiwan



ADIK-BERADIK, biarpun seibu sebapa, tetapi adakalanya tetap bertelagah. Namun apabila ada anasir luar cuba mengganggu ahli keluarga, setiap anggota akan bersatu, berada teguh di belakang masing-masing.

Itu perumpamaan bagi kita rakyat Malaysia. Berbilang kaum dan agama, ada masa perselisihan faham tidak dapat dielak. Namun di hujungnya kita tetap satu bangsa, iaitu bangsa Malaysia.

Seorang ahli politik di Taiwan, Li Zheng Hao, terpaksa mempelajari hakikat itu dengan cara yang agak kejam, selepas mengeluarkan ulasan berbaur fitnah tentang situasi wabak COVID-19 di Malaysia dan bagaimana Malaysia menanganinya.

Tidak cukup dengan itu, Li turut mengaitkan perihal agama, khususnya agama Islam dalam komentarnya yang disiarkan di sebuah stesen televisyen di sana, dan turut dimuat naik ke akaun Facebook.

Susulan itu, lebih 150,000 komen membanjiri akaun Facebook Li, majoritinya adalah kaum Cina di Malaysia yang nyata panas hati dengan tindakan Li itu.

Lebih menarik, mereka juga menyebut bagaimana Li sebenarnya tidak memahami pendekatan agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

“Anda menghina pasukan penguatkuasa dan barisan hadapan di negara ini, malah turut menghina sahabat-sahabat kami yang beragama Islam.

“Jenazah orang Islam tidak boleh dibakar kerana mereka ada cara pengebumian tersendiri dan cara pengebumian itu pula mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia,” kata pengguna Facebook dengan nama Edmond Seng.

“Kita semua anak Malaysia, kita takkan izinkan orang luar yang tak faham agama dan bangsa kita merosakkan nama tanah air kita,” itu pula komen Kelly Lam.

“Kita gaduh, kita punya hal, tapi orang luar jangan usik hal negara kita!” kata Misa Ng.

“Saya tak sangka ramai rakan-rakan di sini yang membela maruah dan nama baik negara kita,” tulis Kamarul Khalid.

Semakan terbaharu di Facebook mendapati Li dipercayai telah mengubah kenyataan asalnya dan telah membuat permohonan maaf.

“Saya faham kemarahan kalian, dan saya minta maaf. Saya harap Malaysia dan seluruh dunia akan berjaya mengatasi wabak ini secepat mungkin,” tulisnya.





Source link