Artikel Terkini

COVID-19 dan sekatan pergerakan: India dijangka kembali import minyak sawit Malaysia

61478534396 cookingoilminyak - COVID-19 dan sekatan pergerakan: India dijangka kembali import minyak sawit Malaysia



71478534404 cookingoilminyak - COVID-19 dan sekatan pergerakan: India dijangka kembali import minyak sawit Malaysia

KUALA LUMPUR: India kelihatannya tidak mempunyai banyak pilihan dan dijangka kembali semula mengimport minyak sawit dari Malaysia, terutamanya sekiranya situasi pandemik COVID-19 di Indonesia semakin memburuk dan negara itu mengenakan sekatan pergerakan sepenuhnya seperti yang dilakukan oleh kebanyakan negara pada masa ini.

“Negara itu (India) dijangka meningkatkan pembelian pada bulan-bulan akan datang kerana penghantaran dilaporkan menurun,” kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dalam laporan tinjauan suku kedua minyak sawitnya di negara-negara Asia Selatan.

Bagaimanapun, keadaan sekatan pergerakan ketika ini akan menjadi faktor penentu sama ada kuantiti import yang diperlukan boleh dicapai atau terus menambah kepada keadaan kegawatan sekarang, kata majlis itu.

Di India, jumlah import minyak dan lemak diunjurkan sebanyak 1.0 hingga 1.2 juta tan metrik (MT) sebulan, yang mana bahagian minyak sawit adalah pada 50 peratus.

MPOC berkata Saurashtra Oil Mills Association (SOMA), pertubuhan pekilang minyak kacang tanah terbesar juga menggesa kerajaan India menarik balik sekatan ke atas import minyak sawit ditapis bagi menampung kekurangan besar dalam pasaran minyak boleh dimakan domestik berikutan sekatan pergerakan.

“Ia berkata harga domestik minyak boleh dimakan di negara itu itu dijangka melonjak pada bulan-bulan akan datang sekiranya tiada kelonggaran import minyak sawit ke negara itu,” kata majlis itu.

Malaysia ketika ini masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebahagian namun industri minyak sawit terus beroperasi berikutan kepentingannya kepada ekonomi negara. Sektor perladangan dibenarkan menyambung semula operasi mereka di samping kilang penapis dan pengeluar minyak masak.

Bagaimanapun, Malaysia tidak boleh berharap mencapai bahagian pasaran import minyak sawit yang sama dalam keadaan sekarang berbanding 45 peratus bahagian pasaran tahun lepas.

Unjuran bagi bahagian minyak sawit Malaysia adalah kira-kira 25 peratus, yang mana hampir dengan bahagian pasaran yang diraih pada 2018.

Pakistan

Bagi Pakistan, dijangka import minyak dan lemak akan mengekalkan momentum semasanya dan melebihi jumlah keseluruhan sebanyak 1.6 juta MT pada akhir Jun 2020.

Pakistan merupakan pengimport bersih minyak dan lemak dengan 90 peratus daripada jumlah keperluan dipenuhi oleh import. Ini adalah alasan utama import Pakistan akan mengekalkan jumlah sedia ada mereka, walaupun berlaku pandemik dan sekatan.

Pada akhir suku pertama 2020, jumlah import minyak makan di Pakistan mencatatkan kemerosotan hanya sebanyak 1.2 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas. Dalam tempoh sama, stok tempatan di Pakistan mencatatkan penurunan sebanyak 9.5 peratus, yang mengimbangi kemasukan yang lebih rendah.

Kemasukan minyak makan turut dijangka mengukuh pada bulan Mei dan Jun untuk memanfaatkan pelepasan duti sebanyak dua peratus yang telah diumumkan oleh kerajaan Pakistan ke atas import minyak makan untuk tempoh tiga bulan, berakhir 30 Jun, 2020.

“Ia juga penting untuk mengetahui bahawa minyak sawit dan pecahan utamanya menyumbang lebih 95 peratus daripada jumlah import minyak dan lemak di Pakistan,” menurut MPOC.

Bahagian pasaran MPO pada masa ini sebanyak 27 peratus dan dijangka Malaysia akan terus mengekalkan paras bahagian ini dan mencecah jumlah eksport sebanyak 450,000 MT pada akhir Jun 2020.

Ini berdasarkan andaian bahawa gangguan semasa di ladang-ladang Sabah tidak akan menjejaskan seluruh situasi bekalan dari Malaysia.

Bangladesh

Menurut majlis itu, data awal daripada sumber tempatan menunjukkan import minyak sawit bagi 1-20 April, 2020 telah menyusut kepada 88,271 MT daripada 130,746 MT untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, import minyak kacang soya mentah meningkat kepada 92,300 MT pada 1-20 April, 2020 berbanding 76,350 MT bagi tempoh sama tahun lepas disebabkan oleh harga yang kompetitif.

Import minyak biji sawi/kanola pula berjumlah 19,748 MT bagi 20 hari pertama pada April 2020 berbanding sifar import yang direkodkan pada tempoh sama tahun lepas, katanya.

Ia meramalkan penggunaan minyak sawit akan terus terjejas kerana impak pandemik COVID-19 dijangka akan berlarutan sehingga separuh kedua 2020.

“Justeru, kita dapat melihat pengurangan import minyak sawit yang seterusnya pada suku kedua 2020. Kuantum penurunan yang lebih tinggi boleh dijangka memandangkan minyak sawit mempunyai bahagian lebih besar dalam pasaran minyak makan Bangladesh,” katanya.

Berdasarkan data perisikan pasaran MPOC Dhaka, MPOC berkata penggunaan minyak sawit sepanjang Ramadan 2020 dijangka turun sebanyak 62 peratus kepada kira-kira 97,000 MT, penurunan mendadak berbanding 255,000 MT pada Ramadan 2019.

Pengurangan ini termasuklah daripada penggunaan isi rumah, industri lelemak/vanaspati (minyak sapi), industri pemprosesan makanan, hotel dan restoran termasuk rangkaian makanan segera serta penjual jalanan.

Destinasi eksport utama

Negara-negara di Asia Selatan menjadi destinasi eksport terpenting bagi minyak sawit Malaysia. Pada penghujung 2019, eksport MSM ke rantau ini mencatatkan rekod sebanyak 5.75 juta tan metrik, peningkatan 36.3 peratus berbanding angka yang dicapai pada 2018.

Lonjakan ini disumbangkan oleh pertambahan dalam eksport yang ketara ke India yang merekodkan jumlah 4.41 juta tan metrik disebabkan oleh kelebihan duti import, merangkumi hampir 77 peratus daripada jumlah eksport MSM ke rantau ini.

Senario ini telah berubah untuk suku pertama 2020. Data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan bahawa bagi tempoh Januari-Mac 2020, eksport MSM ke rantau tersebut telah menurun sebanyak 957,994 tan metrik atau 66.9 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun sebelum ini.

Penyusutan dalam eksport MSM ke India telah menyumbang kepada penurunan keseluruhan dalam jumlah eksport ke rantau berkernaan. Berikutan krisis antara India dan Malaysia pada 2019, India telah mengenakan sekatan ke atas pengimportan minyak sawit yang ditapis ke India.

Sekatan ini menjejaskan eksport minyak sawit dari Malaysia ke dalam negara itu

Indonesia kemudiannya memenuhi permintaan tambahan yang datang dari India sejak awal 2020, penguasaan MSM sebaliknya mula meningkat dalam pasaran seperti Pakistan dan Bangladesh.

Import minyak sawit dari Malaysia telah meningkat disebabkan pembekal Malaysia mampu menawarkan harga yang kompetitif kepada pembeli tempatan.

— BERNAMA





Source link

Related Posts