Artikel Terkini

COVID-19: Foodpanda laksanakan penghantaran tanpa sentuh


KUALA LUMPUR: Perkhidmatan penghantaran makanan, foodpanda akan melaksanakan “contactless delivery” ataupun penghantaran tanpa sentuh sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula Rabu ini .

Langkah tersebut diambil bagi mengurangkan risiko dan interaksi sesama manusia.

Ia juga bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan apabila menggunakan perkhidmatan mereka.

Langkah pertama, pelanggan perlu membuat bayaran untuk pesanan secara dalam talian.

Pelanggan kemudiannya boleh memaklumkan kepada penunggang bahawa mereka memilih penghantaran tanpa sentuh dalam proses pemesanan makanan.

Oleh itu, makanan akan ditempatkan di lokasi “drop off” dan pelanggan akan diberitahu bahawa makanan mereka telah sampai.

Penunggang juga harus mengekalkan jarak sejauh 1 meter dari pelanggan dan pelanggan harus mengesahkan menerima pesanan yang dihantar.

Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Sayantan Das, berkata foodpanda juga menyediakan cecair pembasmi kuman tangan dan topeng muka secara percuma di hab penunggang.

“Semua penunggang juga diarahkan untuk mencuci tangan setiap dua jam dan setiap kali mereka selesai membuat satu penghantaran,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa. 

Platform penghantaran makanan itu turut menyatakan komitmen mereka dalam menyokong semua penunggang, rakan restoran dalam berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang akan berlanjutan sehingga 31 Mac ini.

BACA: COVID-19: Perintah Kawalan Pergerakan meliputi 5 perkara ini

Selain foodpanda, Grab juga mengumumkan bahawa ia akan beroperasi seperti biasa untuk tempoh dua minggu yang akan datang.

Sebelum ini, Grab di Filipina sudah melaksanakan polisi penghantaran tanpa sentuh seumpamanya susulan penularan wabak COVID-19. 

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat agar tidak panik dan sentiasa bertenang serta mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang akan dilaksanakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac ini.





Source link

Related Posts