Artikel Terkini

COVID-19: Lebih 4,000 kes baharu di AS, pasaran saham ditutup rendah



PASARAN saham di Wall Street ditutup rendah selepas kes baru COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) mencatatkan peningkatan tertinggi sehari dalam dua bulan.

AS mencatatkan lebih 4,000 kes baharu dalam masa sehari. Ini meningkatkan kerisauan yang ekonomi AS mungkin mengambil masa lebih lama untuk pulih.

Indeks utama termasuk S and P 500, Dow Jones dan Nasdaq jatuh sekitar 2.2 ke 2.7 peratus, menghapuskan peningkatan yang dicatatkan minggu ini.

Penganalisis Ekonomi Kanan Bankrate.com, Mark Hamrick berkata, masalah ekonomi itu terus memberikan semua masalah.

“Ada masanya kita rasa COVID-19 ini terus ‘menang’. Kita lihat jumlah kes positif global terus meningkat. Kita sekarang tahu, AS adalah pusat penularan ini.

“Kita nampak ada negeri yang mempunyai masalah signifikan yang akibatkan mereka terpaksa patah balik daripada membuka ekonomi.

“Ini semua memberikan kesan kepada unjuran ekonomi. Kita juga telah melihat semak turun IMF ke atas pertumbuhan global, yang sudah sedia buruk. Dan ia disemak turun kepada angka yang lebih buruk.

“Pasaran kekal sensitif kepada perkembangan berita ini. Dalam sesetengah situasi, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pasaran seperti hanya ingin lihat kepada berita positif berkenaan rawatan dan vaksin COVID-19.

“Namun pasaran kekal terkesan berkenaan isu negatif. Apabila situasi berkenaan COVID-19 menjadi negatif, pelabur akan berhenti seketika. Ini berlaku ketika banyak pengurus kewangan institusi percaya pasaran terlebih nilai. Ini bukanlah situasi di mana anda ingin beli kerana ketika ini dengan situasi berita semasa,” katanya.

Sebelum ini pasaran saham AS mencatatkan peningkatan susulan pembukaan ekonomi AS. Antara saham yang turut mencatatkan kejatuhan adalah syarikat kapal persiaran dan saham syarikat tenaga.

Harga minyak mentah turut mencatatkan kejatuhan sekitar 5 peratus kepada sekitar ASD38 setong.





Source link

Related Posts