Artikel Terkini

COVID-19 menyebabkan permintaan, perolehan syarikat penerbangan susut – IATA



KUALA LUMPUR: Krisis COVID-19 akan menyaksikan perolehan penumpang bagi syarikat penerbangan menyusut US$314 bilion pada 2020, iaitu pengurangan 55 peratus berbanding 2019, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dalam analisis terkininya.

Pada 24 Mac, IATA mengunjurkan sektor itu akan kehilangan perolehan sebanyak US$252 bilion (-44 peratus berbanding 2019) sekiranya sekatan perjalanan yang agak berat itu mengambil masa tiga bulan.

Angka yang dikemas kini itu menunjukkan peningkatan krisis tersebut secara ketara dan sekatan domestik yang agak tegas dalam tempoh tiga bulan.

“Data itu juga mencerminkan beberapa sekatan bagi perjalanan antarabangsa yang melebihi tiga bulan selain memberi impak yang serius di seluruh dunia termasuk di Afrika dan Amerika Latin (yang mencatat jumlah kecil kes wabak) dan dijangka kurang terjejas dalam analisis Mac),” kata IATA.

Bagi permintaan penumpang untuk tahun penuh (domestik dan antarabangsa), badan global tu menjangka kemerosotan 48 peratus berbanding 2019 berikutan perkembangan ekonomi secara keseluruhan dan sekatan perjalanan.

Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac berkata lebih separuh daripada perolehan penumpang akan lenyap, dan mencatat kerugian US$314 bilion.

Beberapa kerajaan telah meningkatkan langkah membabitkan bantuan kewangan sama ada yang baharu atau ditambah baik, namun, situasi itu masih kritikal.

“Syarikat-syarikat penerbangan mungkin menggunakan rizab tunai mereka berjumlah US$61 bilion (RM266 billion) pada suku kedua tahun ini. Ia meletakkan risiko kepada 25 juta pekerjaan dalam sektor penerbangan.

“Tanpa bantuan yang segera ini, banyak syarikat penerbangan tidak akan bertahan untuk memacu kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

de Juniac berkata kerajaan harus meletakkan sektor penerbangan dalam pakej penstabilan mereka berikutan syarikat penerbangan berada di teras rantaian nilai yang menyokong kira-kira 65.5 juta pekerjaan di seluruh dunia.

Beliau berkata bantuan kewangan kepada syarikat penerbangan perlu menjadi langkah dasar yang kritikal kepada kerajaan bagi menyokong syarikat penerbangan untuk meneruskan rantaian bekalan yang penting ini dalam tempoh krisis tersebut.

“Setiap pekerjaan di syarikat penerbangan yang terselamat akan mengekalkan lebih 24 pekerja dan ini memberi peluang kepada syarikat penerbangan untuk menjadi perniagaan yang berdaya maju dan bersedia memacu pemuihan dengan menghubungkan negara-negara apabila pandemik ini dapat dibendung.

“Sekiranya syarikat penerbangan tidak bersedia, kesan ekonomi akibat COVID-19 ini akan berlarutan,” kata de Juniac.

— BERNAMA





Source link

Related Posts