Artikel Terkini

COVID-19: Peniaga teroka strategi baharu pasar produk dalam talian – AIM



KUALA LUMPUR: Penularan wabak COVID-19 menyaksikan peralihan trend pengguna yang mendorong peniaga untuk meneroka strategi baharu bagi memasarkan produk masing-masing.

Menurut Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Mohamed Shamir Abdul Aziz, strategi baharu e-dagang atau dalam talian mengambil tempat berbanding perniagaan secara konvensional sebelum ini.

Jelasnya, berikutan itu AIM menerusi Unit Pembangunan Usahawan telah mengadakan bengkel pemasaran online  untuk membantu Sahabat AIM (Sahabat) supaya tidak ketinggalan dalam perkembangan semasa.

“Bengkel yang mempratikkan 80 peratus pratikal dan 20 peratus teori ini dijangka memberi manfaat kepada Sahabat terutamanya dalam memahami perubahan landskap keusahawanan negara pada masa ini dan bagaimana mereka bersedia menghadapi perubahan ini terhadap perniagaan.

“Sahabat juga kemudiannya digalakkan untuk membina komuniti usahawan setempat yang akan membantu antara satu sama lain dengan berkongsi ilmu yang diperolehi dari bengkel ini.

“Teknik pemasaran digital dipilih sebagai keperluan mendesak oleh Sahabat setelah aktiviti pemasaran menyaksikan media sosial mengambil alih peranan utama perniagaan secara konvensional,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Program itu dimulakan dengan Bengkel Keusahawanan Sahabat AIM 2020 (Dalam Mendepani Cabaran Norma Baharu) yang memberi pendedahan mengenai teknik pemasaran secara digital bagi membolehkan Sahabat memasarkan produk perniagaan mereka ke pasaran yang lebih luas.

Sebelum ini, seramai 200 Sahabat di Bera yang dipilih merupakan usahawan-usahawan kecil daripada pelbagai industri yang terkesan akibat pandemik COVID-19 mengikuti bengkel siri kedua yang dirasmikan Menteri Kanan Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain bengkel pemasaran digital, AIM juga memulakan program turun padang atau ‘Terjah’ dengan mengadakan lawatan di beberapa projek Sahabat di setiap negeri.

Ia bagi membolehkan AIM melihat dan mendapatkan maklum balas secara terus daripada Sahabat mengenai masalah yang dihadapi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan selama hampir empat bulan.

Selain Bera, AIM akan mengadakan lima lagi siri bengkel yang sama melibatkan Sahabat di Johor, Kelantan, Sarawak, Kuala Lumpur, dan Perak.

Sebelum ini bengkel pertama yang disertai 200 peserta telah diadakan di Nabawan, Sabah.





Source link

Related Posts