Artikel Terkini

Dagangan Bursa Malaysia digantung mungkin ada kaitan dengan sekatan Top Glove



KUALA LUMPUR: Penganalisis ekonomi berpandangan penggantungan dagangan Bursa Malaysia disebabkan beberapa faktor termasuk prestasi Top Glove susulan sekatan terhadap anak syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim berkata, langkah diambil Bursa Malaysia itu bagaimanapun disifatkan stategik, ketika berdepan tekanan jualan.

“Mungin ia betul (penggantungan dagangan Bursa Malaysia ada kaitan dengan Top Glove). Salah satu sebab adalah Top Glove mempunyai 30 ahli dalam FBM KLCI (FTSE Bursa Malaysia KLCI).

“Jadi sebagai ahli FBM KLCI, setiap pergerakan dalam harga saham setiap ahli akan mempengaruhi FBM KLCI secara keseluruhan, pada masa sama Top Glove mempunyai permodalan pasaran yang tinggi dalam FBM KLCI,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Khamis.

Saham Top Glove jatuh 2.57 peratus pada tengah hari khamis selepas pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengenakan arahan sekatan terhadap syarikat dari Malaysia itu.

Jelas Adam, tindakan tersebut menimbulkan panik dalam kalangan pelabur, sekali gus mengakibatkan mereka bertindak mengurangkan perdagangan dalam saham Top Glove.

“Oleh itu, langkah (Bursa Malaysia) itu untuk menyekat perdagangan pada hari ini adalah untuk memastikan bahawa perdagangan saham di Bursa Malaysia tidak begitu aktif atau tidak berlaku situasi di mana saham akan berada di paras oversold (terlebih jual),” katanya lagi.

BACA: Amerika Syarikat sekat produk Top Glove berhubung isu buruh paksa

BACA: Top Glove tekad selesaikan isu sekatan di AS

Dagangan di Bursa Malaysia digantung pada 3.30 petang hari ini dan punca kejadian masih disiasat.

Bursa Malaysia dalam kenyataan memaklumkan dagangan akan disambung semula seperti biasa pada Jumaat dengan harga dagangan terakhir akan dijadikan sebagai harga rujukan.

Bernama melaporkan FBM KLCI susut 2.24 mata kepada 1,583.32 ketika dibuka pagi tadi berbanding 1,585.56 sewaktu ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk utama itu bergerak dalam jajaran 1,572.11 hingga 1,599.53 pada sesi dagangan hari ini.





Source link

Related Posts