Artikel Terkini

Dakwaan rasuah AirAsia: Apa seterusnya?



DUA individu paling kanan kumpulan Airasia Ketua Pegawai Eksutif Tan Sri Tony Fernandes dan Pengerusi Eksekutif Datuk Kamarudin Meranun mengumumkan melepaskan jawatan eksekutif mereka di kumpulan AirAsia selama dua bulan berkuat kuasa serta-merta.

Syarikat penerbangan itu memaklumkan pelepasan tersebut dibuat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah laku dalam urusniaga dengan Airbus.

BACA: Tony Fernandes, Kamarudin Meranun lepas jawatan selama 2 bulan, Bo Lingam pemangku CEO AirAsia

Sementara itu, dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, AirAsia memaklumkan Tharumalingam Kanagalingam dilantik sebagai pemangku interim Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Group Bhd.

Ia susulan siasatan yang dijalankan UK Serious Fraud Office (SFO) mengenai dakwaan AirAsia terlibat menerima rasuah daripada Airbus.

Laporan itu menyatakan Airbus membayar RM204 juta dan menawarkan RM225 juta lagi untuk menaja sebuah pasukan sukan yang mempunyai kaitan dengan dua eksekutif berkenaan.

Airbus juga didakwa menggunakan belanjawan tahunan sehingga RM1.2 bilion untuk merasuah pegawai kerajaan dan pembuat keputusan bagi memastikan pembelian pesawat keluarannya.

Hasil kegiatan itu, ia berjaya melonjakkan keuntungan syarikat sehingga lebih RM4.1 bilion dan disifatkan sebagai kes rasuah korporat terbesar setakat ini.

Media antarabangsa melaporkan pengeluar pesawat Eropah itu mengaku bersalah terhadap dakwaan tersebut.

Malah, Airbus turut bersetuju membayar hampir RM4.5 bilion di United Kingdom (UK), RM9.5 bilion di Perancis dan RM2.4 bilion di Amerika.

Penyelesaian itu yang dianggap sebagai plea bargain membolehkan Airbus tidak berdepan pendakwaan jenayah yang boleh menghalangnya menyertai kontrak awam di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah .

Selain Malaysia, jenayah berkenaan turut melibatkan Rusia dan China bagi tempoh lebih 13 tahun.

Di UK, terdapat lima pertuduhan di mana empat daripadanya membabitkan pesawat komersial di Malaysia, Sri Lanka dan Taiwan, manakala pertuduhan kelima berkaitan kontrak pertahanan.

Dokumen itu turut menyatakan AirAsia dan AAX memesan sebanyak 406 pesawat dari Airbus antara Oktober 2005 dan November 2014.

Sehari selepas dakwaan mengenai siasatan rasuah itu timbul, saham AAGB dan AirAsia X Bhd menjunam dalam perdagangan aktif.

Bagaimanapun, AirAsia dalam satu kenyataan pada Sabtu menafikan terlibat dalam sebarang penyiasatan oleh SFO.

Meskipun ketika ini ia hanya berdasarkan kenyataan daripada pihak berkuasa UK, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Setakat ini, Astro AWANI masih menunggu penjelasan daripada wakil AirAsia mengenai maksud sebenar di sebalik dakwaan tersebut

Mengambil contoh kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didedahkan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS sebelum ini, ia telah membawa kepada satu siasatan besar-besaran di negara ini.

Jadi, adakah kes rasuah membabitkan AirAsia ini akan melalui siasatan yang sama, dan apa kesannya kepada Malaysia?

Astro AWANI akan terus membawakan perkembangan terkini berhubung dakwaan terhadap dakwaan rasuah membabitkan AirAsia dari semasa ke semasa.





Source link

Related Posts