Uncategorized

Demi Melayu, cukup-cukuplah DPMM bergaduh – Khairuddin

Demi Melayu, cukup-cukuplah DPMM bergaduh - Khairuddin 1



Demi Melayu, cukup-cukuplah DPMM bergaduh - Khairuddin 2

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) disaran menghentikan pergaduhan dalaman selain perebutan kuasa demi kepentingan ekonomi Melayu.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, kepemimpinan baru DPMM telah menang melalui proses pemilihan secara demokrasi.

Tegasnya, pihak yang kalah sepatutnya akur serta menghormati keputusan tersebut.

“Jika mereka berkelahi lagi, kita harus sarankan dan tukar nama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) kepada Dewan Pergaduhan Melayu Malaysia.

“Ahli-ahli DPMM harus sarankan dan setuju dengan pertukaran nama ini. Inilah lambang dan sikap terkenal yang ada pada kebanyakan bangsa Melayu.

“Tidak habis-habis mereka hendak bergaduh secara berpanjangan serta berebut kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader kekal sebagai Presiden DPMM apabila menerima sokongan daripada semua perwakilan pada mesyuarat agung tahunannya (AGM).

Ia rentetan tindakan 18 bekas ahlinya yang melantik Datuk Seri Syed Hussein sebagai Presiden baru dalam satu AGM yang tidak sah.

Untuk rekod, keahlian Syed Hussein dan 17 yang lain telah tergugur secara automatik berkuatkuasa 13 September 2018 menurut fasal 27.6.6 dan 8.12.5 Perlembagaan DPMM berikutan tindakan membawa DPMM ke mahkamah.

Selain Syed Hussein, antara bekas ahli lain termasuklah Fauzi Hassan; Abdul Halim Husin; Norsyahrin Hamidon; Datuk Syed Ali Alattas; Abdul Rahman Yaakub dan Yusri Yusof.

Rizal bagaimanapun berkata, dia masih Presiden DPMM yang sah di sisi undang-undang pada masa ini seperti yang terpapar dalam rekod e-Roses di bawah kelolaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Dalam pada itu Khairuddin memberitahu, kumpulan yang kalah sepatutnya terus memberi sokongan padu kepada kepimpinan baru yang menang melalui proses demokrasi ke arah terus membangunkan semula perniagaan bangsa Melayu.

“Peranan DPMM sepatutnya melakarkan satu ‘road map‘ untuk menganjakkan prestasi dan kecemerlangan ekonomi orang-orang Melayu baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

“Kita mesti memikirkan kaedah untuk memertabatkan ekonomi bangsa Melayu dan bukan terus bergaduh serta berebut kuasa begini.

“Saya bukan hendak masuk campur atau menyebelahi mana-mana pihak, tetapi kalangan yang menang mesti secara sah mesti dihormat dan diberi mandat untuk terus mentadbir DPMM ke arah mencemerlangkan badan ini,” katanya.

Tambahnya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga harus memberi kata putus untuk melarang puak-puak pengacau dari terus mencetuskan huru-hara sehingga boleh membantutkan prestasi pentadbiran badan perniagaan Melayu itu

“Cadangan pertukaran nama DPMM kepada Dewan Pergaduhan Melayu Malaysia boleh diluluskan seandainya mereka semua hendak terus berperang sesama sendiri.

“Sikap dan perangai ini amat memalukan imej bangsa Melayu. Bangsa asing yang melihat hanya mentertawakan kita sahaja,” jelasnya.

Pada AGM itu, Rizal berkata, perwakilan turut meluluskan resolusi untuk membuka cawangan baharu di Sarawak, menjadikan jumlah keahliannya kepada 16 cawangan negeri berbanding 15 sebelum ini.





Source link

Related Posts