Uncategorized

Destar lambang keperibadian dan identiti bangsa Melayu

Destar lambang keperibadian dan identiti bangsa Melayu 1



Destar lambang keperibadian dan identiti bangsa Melayu 2

SEREMBAN: Keperibadian identiti bangsa Melayu yang terkenal dengan sikap lemah lembut dan berbudi bahasa, jelas terpancar dalam proses pembentukan destar yang memerlukan sikap sabar, kekemasan, kehalusan dan ketelitian.

Penyandang adat Istana Besar Seri Menanti Datuk Menteri Laksamana Alias Zakaria berkata penciptaan destar ini jelas menggambarkan daya kreativiti yang tinggi dalam masyarakat Melayu iaitu bentuk destar yang dicipta oleh tukang Melayu bukan sahaja indah dipandang tetapi mempunyai nilai estetika yang dapat dibanggakan.

“Satu daripada simbol atau lambang yang terjelma daripada bentuk destar ialah kepahlawanan dan sejak dahulu lagi pemakaian destar sudah dikaitkan dengan semangat kepahlawanan Melayu.

“Ini jelas ekoran kebiasaan panglima, hulubalang atau pahlawan Melayu zaman silam yang sentiasa memakai pakaian lengkap berdesta dan keris yang tersisip di pinggang.

“Orang Melayu berkebolehan mencipta sesuatu dan setiap ciptaannya adalah menurut kesesuaian dan menggambarkan hubungannya dengan alam sekitar,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada Bengkel Pembuatan Tanjak dan Tengkolok yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri Mohamad Nazaruddin Sabtu di sini, pada Sabtu.

Bengkel yang julung kali diadakan itu anjuran Persatuan Kebajikan Zuriat Keturunan Pusaka Bentan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Tanah Beradat Negeri Sembilan bersama Persatuan Peniaga Bazar Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Seremban.

Mengulas lanjut, Alias berkata pengekalan sejarah dalam pemakaian destar ini dapat digambarkan melalui bentuk destar yang sarat dengan nilai seni dan keindahan yang masih kekal dan tetap disanjung dan sekalipun tahun telah beredar dan zaman telah berubah namun destar tetap indah dan unik.

“Simbol keagamaan jelas terpancar. Umpama bentuk destar yang dipakai oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dapat menjelaskan kedudukannya sebagai ketua agama. Lipatan simbol yang tertentu ‘Dendam Tak Sudah’ mempunyai lima lipatan menggambarkan lima prinsip yang terkandung di dalam rukun Islam.

“Perkataan ‘Dendam Tak Sudah’ bermaksud ketidakpuasan hati si penakuk semasa menghasilkan lipatan destar iaitu ia berasal daripada perkataan ‘Andam Tak Sudah’ yang bermaksud pengabadian kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dan kesempurnaan hanya Allah yang maha sempurna dan kepadanya segala sesuatu itu dicipta,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bentan Malaysia yang juga pengarah program Datuk Nazri Kamal berkata bengkel yang diadakan secara percuma ini bertujuan memupuk minat dalam kalangan anak muda dan pelajar dalam membudayakan pemakaian tanjak dan tengkolok.

“Bengkel ini diharap dapat mendidik generasi muda menyayangi dan mengekalkan warisan budaya serta adat yang menjadi identiti negara ini. Ia juga dapat meningkatkan pemahaman mereka mengenai tanjak dan tengkolok bermula daripada konsep, jenis dan cara-cara membuatnya,” kata beliau.

— BERNAMA





Source link