Artikel Terkini

Dewan Perdagangan Digital Malaysia alu-alukan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura



KUALA LUMPUR: Dewan Perdagangan Digital Malaysia mengalu-alukan usaha pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura demi memanfaat ekonomi kedua-dua negara.

Presidennya, Chris Daniel Wong pada masa sama  berkata,  langkah itu penting memandangkan Singapura merupakan pusat kewangan di Asia dan negara juga memerlukan penjanaan Pelaburan Langsung Asing (FDI) dari Singapura.

Malah, kesukaran tenaga kerja dari Malaysia untuk berulang-alik ke Singapura sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada pertumbuhan negara republik itu.

“Pertama ialah orang Malaysia yang menetap di Johor yang berulang-alik ke Singapura untuk bekerja. Kita tengok ada laporan ramai yang hilang pekerjaan iaitu lebih kurang setengah juta lebih yang ada di Johor, tidak dapat ke Singapura untuk bekerja. Ia secara langsung, ia membantutkan pertumbuhan negara Singapura.

“Kedua, kita lihat kepada transborder commerce antara Malaysia-Singapura. Singapura adalah negara kedua pelaburan terbesar di Malaysia. Jadi apabila kita melalui Fasa PKP pada empat bulan lepas, kita lihat pelaburan memang mundur apabila sempadan telah ditutup selama tempoh ini. Jadi kita amat mengalu-alukan pembukaan sempadan ini,” katanya kepada Astro AWANI semasa Buletin AWANI Khas pada Selasa.

BACA: Malaysia-Singapura benarkan rentas sempadan bersyarat

Katanya lagi, penggunaan teknologi banyak membantu dalam urusan perniagaan kedua-dua negara.

Namun, perniagaan tetap memerlukan pendekatan secara bersemuka selain sokongan teknologi semasa.

“Selama empat bulan lepas ini, iaitu sejak bulan 3, semasa PKP, saya sendiri menggunakan perisian video conferencing seperti Zoom dan Skype untuk berurusan dengan rakan di Singapura.

“Namun ada kekurangannya, apabila kita berurusniaga, perlu juga kita bersua muka bagi mengeratkan sialturrahim agar kita melancarkan perjalanan perniagaan. Walaupun teknologi membantu, namun silaturrahim antara manusia kena ada. Itulah yang perlu ada apabila berniaga sesama kita,” tambah beliau. 

Apa yang penting katanya, setiap orang perlu mementingkan disiplin dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan protokol yang ditetapkan kedua-dua negara bagi mengelak penularan COVID-19.

“Dari segi protokol dan SOP tiada beza dengan Malaysia. Ia termasuk pemeriksaan suhu badan dan memasukkan maklumat peribadi bagi memastikan pengesanan kontak rapat dilakukan. Saya rasa SOP sudah dilalui empat bulan, namun yang penting ialah disiplin, para peniaga yang ulang alik ini, pentingnya disiplin.

“Apabila ke Singapura ada SOPnya sendiri iaitu kita perlu ke tempat yang kita nak pergi sahaja. Itu adalah disiplin. Jangan ke mana-mana melainkan ke tempat kerja, tempat makan dan terus pulang ke hotel,” tambahnya.

Malah, sebagai majikan, beliau berpendapat setiap majikan perlu sentiasa diingatkan mengenai pematuhan SOP apabila pembukaan sempadan dilaksanakan nanti.

“Para majikan dan pihak sumber manusia syarikat hanya boleh letakkan SOP di tempat masing-masing.  Paling penting ialah pendidikan. Para pekerja harus dididik dan selalu diingatkan tentang SOP. Kenapa SOP ini penting agar mereka ingat dan patuh kepada SOP. Ini adalah disiplin yang ada pada diri sendiri supaya kita tidak akan bebankan orang lain dan kita akan buatkan orang lain selesa bekerja,” ujarnya.

Pada Selasa, Menteri Luar kedua-dua negara, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Dr Vivian Balakrishnan dalam satu kenyataan bersama berkata, Malaysia dan Singapura bersetuju membenarkan rentas sempadan secara bersyarat menerusi inisiatif Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA).

Kedua-dua inisiatif itu dijangka akan dilaksanakan pada 10 Ogos depan melibatkan urusan perniagaan dan rasmi antara kedua-dua negara serta pemegang pas imigresen jangka panjang untuk tujuan perniagaan dan pekerjaan.





Source link

Related Posts