Artikel Terkini

Doodle 12 jam tanpa henti di KUD tempa nama dalam MBOR



PUTRAJAYA: Ekspresi seni aktiviti bersempena Karnival Usahawan Desa (KUD@KPLB 2019) dalam bentuk contengan atau doodle selama 12 jam tanpa henti menempa nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR).

Lakaran contengan dengan motif tertentu menggunakan peralatan pena itu dibuat di atas 10 bongkah bersaiz lima kaki tinggi dan empat kaki lebar oleh lapan pelukis doodle daripada komuniti yang dikenali sebagai Doodict.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Rekabentuk Malaysia Abdul Rahman Mohd Saad berkata idea tersebut dicetuskan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun sebagai antara kelainan yang harus dilaksanakan pada karnival dwitahunan itu.

“Sebab itu kita putuskan untuk bekerjasama dengan Doodict, komuniti yang terkenal dengan seni doodle yang menjadi perhatian generasi muda ketika ini.

“Bersempena KUD, kita tetapkan doodle yang dihasilkan mestilah berkaitan dengan aktiviti dan elemen keusahawanan yang berlangsung sepanjang lima hari karnival,” katanya selepas majlis penyerahan MBOR itu di sini hari ini.

Disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus, sijil tersebut diserahkan oleh Pengurus Operasi Kajian dan Pemasaran MBOR Edwin Yeoh kepada Abdul Rahman.

Abdul Rahman berkata beliau bangga dengan komitmen pelukis yang komited menyelesaikan lukisan bermula dari jam 3 petang semalam hingga contengan berakhir 3 pagi tadi walaupun berdepan cuaca hujan.

Sementara itu, Pengasas Doodict Muhamad Hizami Musa berkata komuniti itu bangga atas kepercayaan yang diberikan sekali gus memberi ruang untuk mereka mengetengahkan bakat dan mempromosi kewujudan aktiviti doodle kepada masyarakat.

Beliau berkata komuniti yang ditubuhkan pada 2013 itu mempunyai 70 pelukis di mana lapan orang yang terlibat dalam projek MBOR dipilih berdasarkan teknik lukisan yang dimiliki bersesuaian dengan tema yang ditetapkan.

Sebelum mula melukis, kami membuat persiapan dari sudut tema yang dikehendaki, tidur yang cukup dan kuatkan mental untuk berdepan keadaan cuaca kerana aktiviti berlangsung di tempat terbuka, katanya.

Muhamad Hizami berkata motif doodle yang dibuat adalah berkisarkan tentang aktiviti yang berlangsung di KUD@KPLB dengan elemen luar bandar, antaranya motif makanan tradisional, fesyen dan tekstil tradisional, serta pertanian.

— BERNAMA





Source link