Uncategorized

Dr Mahathir pelawa syarikat Turki melabur dalam tiga sektor utama Malaysia



ISTANBUL: Firma Turki boleh melabur atau menjalinkan perkongsian dengan rakan perniagaan tempatan dalam tiga sektor utama di Malaysia iaitu aeroangkasa, automotif serta jentera dan kelengkapan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata bagi sektor aeroangkasa, Malaysia menyasarkan untuk muncul sebagai negara aeroangkasa terkemuka di ASEAN dan memanfaatkan pasaran global pada 2030.

“Berasaskan sasaran ini, kami telah mengenal pasti bidangnya seperti penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih selain pembuatan, penyepaduan sistem serta perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk. Kami berharap dapat bekerjasama dengan Turki dalam bidang seperti kejuruteraan pesawat,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuarat Meja Bulat dengan Peneraju Industri Turki di sini, pada Jumaat.

Dalam sektor automotif pula, Dr Mahathir berkata Malaysia meletakkan sasaran untuk menjadi hab kenderaan cekap tenaga, justeru itu, beliau mempelawa syarikat Turki ke arah mewujudkan usaha sama bagi tujuan tersebut.

“Inisiatif ini akan mendorong kepada pemuliharaan alam sekitar, menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi, pemindahan teknologi dan mewujudkan perniagaan bagi syarikat tempatan,” katanya 

Bagi sektor jentera dan kelengkapan, Perdana Menteri berkata industri berkenaan di Malaysia adalah antara yang terbesar di ASEAN, dengan keupayaan menyediakan pelbagai perkhidmatan berkualiti dan berkelas dunia.

“Malaysia mengalu-alukan syarikat dari Turki untuk melabur atau bekerjasama dengan firma Malaysia yang berkeupayaan dan berteknologi tinggi,” katanya.

Beliau berkata Malaysia sedang melaksanakan usaha transformasi besar-besaran dalam ekonomi dan kerajaan akan meneruskannya.

Malaysia turut mengekalkan dasar menyokong perniagaan dan berhemat bagi memastikan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk perniagaan asing yang mahu mengembangkan dan mempelbagaikan operasi sedia ada mereka, katanya

Dr Mahathir juga memberitahu pelabur asing yang berpotensi bahawa pelaburan di Malaysia akan menjadi pintu masuk ke rantau ASEAN yang luas 

“Apabila anda memikirkan tentang Malaysia, silalah juga memikirkan mengenai ASEAN, kumpulan 10 negara di Asia Tenggara yang mempunyai 650 juta penduduk,” katanya.

Semasa sesi dialog, beliau yang kagum dengan kecanggihan produk pertahanan keluaran Turki berkata Malaysia mahu bekerjasama dengan Turki untuk membangunkan produk sedemikian di samping membantu negara ini memasarkannya ke ASEAN.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kelebihan untuk menjadi pusat aktiviti perniagaan di Asia Tenggara.

Kerajaan Malaysia juga mahu mengurangkan kebergantungan dengan minyak sawit dan akan memikirkan tanaman lain untuk mempelbagaikan sumber ekonomi, katanya.

Hadir sama ialah Menteri Industri dan Teknologi Turki Mustafa Varank selain Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking.

Dr Mahathir berada dalam rangka lawatan rasmi ke Turki sejak Rabu.

— BERNAMA





Source link

Related Posts