Artikel Terkini

Dr Zeti Akhtar Aziz, Dr Kamal Salih antara nama besar dalam SERC?

51530612969 ZETIAKHTARAZIZ - Dr Zeti Akhtar Aziz, Dr Kamal Salih antara nama besar dalam SERC?



81530612977 ZETIAKHTARAZIZ - Dr Zeti Akhtar Aziz, Dr Kamal Salih antara nama besar dalam SERC?

JOHOR BAHRU: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan pakar ekonomi Tan Sri Dr Kamal Salih antara nama besar dalam bidang ekonomi negara yang disebut-sebut untuk membarisi Jawatankuasa Reformasi Ekonomi Negeri (SERC) dalam usaha kerajaan negeri mencari formula pemulihan ekonomi pasca-COVID-19.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata anggota atau ahli yang akan berada dalam jawatankuasa itu akan terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran serta latar belakang ekonomi dan industri sama ada di peringkat serantau atau global.

“Tan Sri Dr Zeti antara tokoh yang saya nampak boleh membantu terutamanya dalam usaha kita untuk membangunkan bank digital di negeri ini dan ini adalah penting. Beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam sektor perbankan.

“Kita sudah mula menyenarai pendek nama-nama pakar, ramai dan banyak faktor yang saya pertimbangkan. Saya akan cuba mengehadkannya kepada satu jumlah yang dapat menghasilkan perbincangan yang terbaik untuk negeri Johor,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di Saujana, kediaman rasmi Menteri Besar Johor, di sini, baru-baru ini.

Zeti, 73, merupakan tokoh terkemuka dalam bidang ekonomi dan berperanan penting dalam merangka pelan ekonomi pasca krisis kewangan Asia pada tahun 1998 dan menjadi Gabenor BNM dari Mei 2000 hingga April 2016.

Sementara itu, Kamal, 74, yang kini merupakan Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), pernah dilantik sebagai salah seorang anggota Panel Ekonomi Perdana Menteri pada 1981-1986.

Selain itu, Hasni berkata tokoh-tokoh korporat dari pelbagai sektor yang mempunyai pelaburan di Johor juga boleh membantu dalam memberikan input kepada jawatankuasa ini terutamanya dalam kerajaan negeri mencari pelan pemulihan pasca-COVID-19.

“Di Johor, kita ada pelaburan Petronas yang besar, tidak kurang juga tokoh-tokoh yang berjaya dalam industri minyak dan gas. Kita juga ada pelaburan daripada Khazanah Nasional yang cukup banyak di Johor.

“Antaranya Desaru Coast, Iskandar Malaysia dan pelaburan mereka mencakupi pelbagai sektor. Kepimpinan daripada Khazanah Nasional juga akan dapat membantu. Ini juga antara pertimbangan yang kita perlu berikan dalam merangka anggota dalam jawatankuasa itu,” katanya.

Hasni berkata penubuhan jawatankuasa itu juga boleh disamakan seperti penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang ada di peringkat Persekutuan tetapi dengan cabaran yang lebih besar iaitu memulihkan ekonomi yang terjejas berikutan penularan wabak COVID-19 yang turut menjejaskan ekonomi global.

Pada 15 April lalu, kerajaan negeri mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu dalam usaha untuk merancakkan kembali ekonomi Johor berikutan pandemik COVID-19.

Menurut Hasni, SERC akan merangka dan memberi syor berbentuk Pelan Reformasi Ekonomi kepada kerajaan negeri yang mengandungi polisi, prosedur dan hala tuju strategik yang bakal melihat pem-baharuan terhadap ekonomi Johor pasca-COVID-19.

“SERC mempunyai beberapa objektif antaranya memberi nasihat kepada kerajaan negeri berkenaan polisi, prosedur dan hala tuju strategik jangka masa pendek, sederhana dan panjang berkaitan ekonomi Johor,” katanya.

Hasni yang akan bertindak sebagai Pengerusi SERC itu berkata jawatankuasa tersebut akan menasihati kerajaan negeri berhubung bidang ekonomi baharu, kerjasama serantau dan inisiatif berimpak tinggi bagi mewujudkan ekosistem ekonomi Johor yang lestari serta memberikan syor penambahbaikan bagi Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 dalam konteks pasca-COVID-19.

Antara perancangan awal dalam pelan reformasi ekonomi itu termasuklah penubuhan Bank Digital bagi memanfaatkan dan merancakkan ekonomi digital serta ekonomi masa depan negeri tersebut, sekali gus menjadikan Johor negeri pertama mempunyai bank digital sekiranya ia direalisasikan.

Menerusi laman web rasmi Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, negeri itu merupakan negeri keempat tertinggi dari segi nilai sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional pada 2018.

KDNK Johor pada 2018 mencatatkan nilai RM130.5 bilion dengan menyumbang 9.6 peratus kepada KDNK nasional.

— BERNAMA





Source link

Related Posts