Artikel Terkini

DRB-Hicom catat kerugian bersih RM173 juta



KUALA LUMPUR: DRB-Hicom Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM173.27 juta bagi tempoh suku pertama berakhir 31 Mac, 2020.

Menurut kumpulan itu, pandemik COVID-19 terbukti memberi kesan terhadap perniagaannya manakala aliran pertukaran asing yang kurang memberangsangkan pada suku itu menyebabkannya merekodkan kerugian kira-kira RM72 juta membabitkan bayaran dan pinjaman dalam denominasi mata wang asing.

Konglomerat itu meraih hasil sebanyak RM2.74 bilion pada suku tersebut, didahului oleh sumbangan sektor automotif yang menjana jualan RM1.81 bilion, sektor perkhidmatan RM830.49 juta manakala sektor hartanah sebanyak RM93.3 juta, katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Bagaimanapun, tiada sebarang suku perbandingan berikutan langkah kumpulan itu mengubah tahun kewangannya berakhir dari Mac kepada Disember pada tahun sebelum ini.

Menurutnya, jualan sektor automotif dipacu oleh pengeluar kereta nasional, Proton dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) X70 terus menerajui kategori itu.

“Sektor perkhidmatan DRB-Hicom pula menyaksikan jumlah bungkusan kendalian Pos Malaysia meningkat, didorong oleh pertumbuhan aktiviti e-dagang dan pemasaran dalam talian,” katanya.

Selain itu, segmen mel turut mencatat peningkatan kecil khususnya pada Februari walaupun impak COVID-19 adalah ketara pada Mac yang menjejaskan perolehan hasil.

“Sektor hartanah merekodkan jumlah lebih rendah dalam subsektor pembinaan dan menyebabkan hasil lebih rendah,” katanya.

Dalam pada itu, DRB-Hicom merancang untuk melaksanakan strategi promosi dan melancarkan model-model baharu bagi meningkatkan perniagaan automotifnya tahun ini.

Prospek bagi segmen pertahanan, aeroangkasa, pos dan logistik, perbankan, perkhidmatan dan pembinaan juga kekal lemah kerana turut dijejaskan oleh ketidaktentuan usaha berpanjangan bagi menangani impak COVID-19.

“Prestasi operasi kami bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020 akan turut terjejas akibat krisis pandemik yang masih berlaku,” katanya.

— BERNAMA





Source link

Related Posts