Artikel Terkini

Dua Persoalan Penting Tentang IPO Terbesar Dunia, Saudi Aramco Milik Kerajaan Arab Saudi


Rasmi, Saudi Aramco adalah syarikat terbesar dan paling
bernilai di dunia. Saham IPO terbesar dunia Saudi Aramco mencecah sasaran US$2
trillion pada hari kedua (12 Disember 2019) kemasukannya ke dalam pasaran saham
tempatan.

Putera Mahkota Mohammed bin Salman berhasrat menjadikan
syarikat milikan penuh kerajaan Arab Saudi itu sebagai rancangan untuk
mempelbagaikan ekonomi negaranya dan mengurangkan pergantungan kepada minyak
mentah yang menjadi nadi utama negara Arab Saudi sejak sekian lama.

Dalam penampilan
pertamanya di bursa saham Tadawul pada hari Rabu (11 Disember) ia melonjak
sehingga 10% sekaligus meraih dana US$25.6 billion untuk kerajaan Arab Saudi
pada nilaian US$1.9 trillion modal pasaran syarikat tersebut.

Setakat ini syarikat paling hampir adalah Apple yang
didagangkan di sekitar US$1.2 trillion.

Selepas beberapa tahun ditangguhkan akhirnya Aramco mula
diapungkan di bursa saham Tadawul pada Rabu menjadikan ia satu detik bersejarah
kepada penyumbang hampir 10% minyak mentah dunia itu.

Untuk pengetahuan anda, Saudi Aramco dahulunya dinamakan
sebagai Califonia-Arabian Standard Oil
Company
yang diasaskan sejak lebih daripada 80 tahun lalu iaitu pada tahun
1933. Kemudian namanya diubah kepada Arabian-American
Oil Company
pada tahun 1944. Sehinggalah namanya ditukarkan kepada Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco)
pada tahun 1988.

1. Kenapa Saudi Aramco Disenaraikan Di Bursa Saham?

Kerajaan Arab Saudi telah memperkatakan tentang penjualan
sebahagian saham syarikat gergasi minyaknya sejak beberapa tahun yang lalu. Kerajaan berhasrat untuk menggunakan dana
tersebut untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi negara itu dengan hanya menjual
1.5% sahamnya
yang mana selebihnya (98.5%) masih berada dalam genggaman
keluarga diraja Arab Saudi.

Walaubagaimanapun, penyenaraian dibuat pada waktu yang
mencabar dalam industri minyak mentah global. Harga minyak mentah tertekan
semula dan pelaburan dalam industri ini juga semakin berkurangan. Dalam kajian
yang dijalankan oleh Aramco sendiri permintaan untuk minyak mentah akan
berkurangan selepas tahun 2040, tetapi beberapa penganalisa pasaran
menjangkakan ia akan berlaku lebih awal daripada itu.

Tidak ramai yang
percaya Aramco mampu mencecah nilai sasaran US$2 trillion yang mana sesetengah
penganalisa menganggap ia terlalu tinggi kepada syarikat yang hanya bernilai
US$1.2 trillion.

Walaubagaimanapun, kerajaan Arab Saudi tetap optimis dan mengatakan hanya masa
yang menentukan dan mereka yang skeptikal akan termakan kata-kata sendiri.

Tidak sampai seminggu
dagangan, nilaian modal pasaran Aramco telah mencecah US$2 trillion pada hari
Khamis (12 Disember 2019).

2. Bagaimana Saudi Aramco Kekal Untung Dalam Suasana Pasaran Yang Merudum?

Pertumbuhan ekonomi global adalah punca penurunan harga
minyak mentah dunia dan banyak syarikat pengeluar minyak yang terhambat dengan
situasi ini berikutan permintaan yang semakin merosot.

Bagi Jackie Forrest pengarah Penyelidikan Tenaga Arch,
sebaliknya berlaku kepada Aramco kerana syarikat itu meraih keuntungan sehingga
US$111 billion pada tahun 2018. Forrest
berkata syarikat-syarikat lain mengalami kesukaran untuk meraih keuntungan
dalam situasi harga minyak mentah kekal rendah. Tetapi ia tidak menjadi masalah
kepada Aramco yang terus menggali dan mengeluarkan komoditi hitam  berharga itu.

Ia disebabkan kos pengeluaran adalah sangat kecil bagi Aramco
berbanding syarikat pengeluar yang lain.

Saiz dan skop
menyeluruh Aramco sukar untuk difahami kerana tahap transparensi yang rendah
tetapi difahamkan syarikat yang dimiliki oleh kerajaan Arab Saudi ini adalah
pengeluar minyak mentah dengan kos yang paling rendah di dunia.

Bagi mengeluarkan satu tong minyak Aramco memerlukan US$5
hingga US$10 sahaja, manakala pengeluar di Kanada contohnya di kawasan Alberta
memerlukan US$30 untuk pengeluaran mereka.

Ia bukan hanya syarikat terbesar di dunia, ia juga adalah
satu syarikat minyak paling untung, menurut penganalisa pasaran.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.investing.com/news/stock-market-news/saudi-aramco-set-to-hit-2-trillion-market-value-on-thursday-2039595
  2. https://en.wikipedia.org/wiki/Saudi_Aramco
  3. https://www.ft.com/content/b6137df6-1cb4-11ea-9186-7348c2f183af
  4. https://www.cbc.ca/news/business/saudi-aramco-is-now-the-world-s-most-valuable-company-but-for-how-long-1.5392233
  5. https://www.cnbc.com/2019/12/10/saudi-aramco-ipo-mohamed-el-erian-is-a-firm-yes-on-buying-shares.html
  6. https://www.reuters.com/article/saudi-aramco-ipo/saudi-aramcos-winding-road-to-an-ipo-idUSL8N27K1NJ
  7. https://www.france24.com/en/20191103-after-many-delays-saudi-aramco-launches-ipo

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen





Source link