Uncategorized

Edisi istimewa bumper nostalgia raya Ujang imbau memori Aidilfitri

Edisi istimewa bumper nostalgia raya Ujang imbau memori Aidilfitri 1


SUBANG JAYA: Jika anda membesar di era 90an, apa yang paling anda ingati tentang sambutan Aidilfitri selain ketupat, rendang dan baju raya?

Jawapannya, majalah Ujang dan Apo?

Jangan berasa pelik kerana edisi bumper hari raya dan puasa merupakan sebahagian daripada tradisi dan kemeriahan Aidilfitri ketika itu.

Mengubati kerinduan peminat, penerbitan MOY Publication Sdn Bhd mengeluarkan naskhah istimewa majalah Ujang dan Apo? edisi bumper nostalgia hari raya.

BACA: MOY Publication tutup operasi, majalah Ujang berkubur

Mengumpulkan jenaka nostalgia hari raya yang dinaik taraf dari edisi tahun 1999 hingga 2002, ia diharapkan dapat mengimbau kenangan manis peminat yang membesar bersama kedua-dua majalah dan komik itu.

“Kami dapat permintaan yang banyak daripada peminat melalui laman sosial, mereka masih rindukan Ujang dan Apo?

“Kami buat keputusan untuk terbitkan edisi khas ini agak last minute juga. Tetapi Alhamdulillah kartunis terbabit semua memberi kerjasama yang baik,” kata Pengarah Operasi dan Jualan, Azrul Izar.

Edisi khas ini menampilkan kira-kira 40 kartunis asal Ujang dan Apo? antaranya Lengkuas, Manggis, Bendi dan Gayour.

Edisi khas ini diharap dapat mengubat kerinduan peminat.

“Jenaka yang diketengahkan Ujang dan Apo? memaparkan situasi masyarakat di Malaysia yang dekat dengan hati pembaca.

“Kerana itu, di zaman kegemilangannya, edisi bumper sentiasa ditunggu-tunggu, malah menjadi kebanggaan dan buah tangan untuk dibawa pulang beraya di kampung halaman.

“Diharapkan keluaran khas ini bukan sahaja menjadi hiburan tetapi juga sesuatu untuk dipersembahkan kepada anak-anak kecil tentang bagaimana generasi terdahulu menyambut hari raya,” kata kartunis Gayour.

Edisi khas bumper nostalgia raya boleh didapati di kedai-kedai buku serta pembelian dalam talian di bekazon.com pada harga RM19.90.





Source link