Uncategorized

Empat Catalyst Utama Pasaran Global Minggu Ini (20-24 Mei 2019)

Empat Catalyst Utama Pasaran Global Minggu Ini (20-24 Mei 2019) 1


Saham Amerika Syarikat ditutup rendah berikutan khabar angin yang mengatakan rundingan Amerika Syarikat-China semakin menemui jalan buntu dengan perang dagang terus memuncak. Indeks Dow Jones Industrial Average (DJIA) jatuh 0.38%, S&P 500 susut 0.58% dan Nasdaq meleset 1.04% pada penutupan pasaran hari Jumaat.

Industri yang sensitif dengan isu perdagangan memimpin kejatuhan Wall Street selepas laporan CNBC yang mengatakan tiada kata pututs tarikh rundingan seterusnya. Saham syarikat Caterpillar dan 3M yang sensitif dengan isu perdagangan merekodkan kejatuhan besar dengan masing-masing susut 3.04% dan 1.58%.

Hubungan Amerika Syarikat dan China semakin tegang apabila Presiden Trump mengumumkan halangan terhadap gergasi syarikat telekomunikasi China, Huawei di Amerika Syarikat. Trump menghalang syarikat Huawei daripada menggunakan teknologi Amerika Syarikat yang menjadi satu tamparan hebat kepada syarikat itu. Selepas keputusan itu, Beijing mengancam untuk keluar daripada rundingan sambil menuduh Amerika Syarikat tidak ikhlas untuk mengakhiri perang perdagangan.

Selain daripada isu Amerika Syarikat dan China, minggu ini pasaran akan menumpukan perhatian kepada perkembangan seterusnya dalam isu Brexit berikutan kesan besar terhadap matawang Sterling. Laporan terbaru menunjukkan rundingan di antara parti kerajaan (Konservatif) dan parti Buruh menemui jalan buntu dengan Jeremy Corbyn berkata tiada apa yang perlu dibincangkan dengan parti kerajaan yang berada di ambang kejatuhan.

Daripada segi dasar monetari, pasaran  akan tertumpu kepada laporan minit mesyuarat dua bank pusat utama dunia iaitu Federal Reserve (The Fed) dan European Central Bank (ECB).

Berikut adalah empat tema utama yang bakal mempengaruhi lanskap pasaran dunia sepanjang minggu ini.

1. Retorik Perang Perdagangan Amerika Syarikat – China

Empat Catalyst Utama Pasaran Global Minggu Ini (20-24 Mei 2019) 2

Hubungan Amerika Syarikat dan China sekali lagi tegang dengan serangan-serangan terbaru dalam perang dagang antara kedua-dua kuasa ekonomi besar dunia itu. Dua minggu lalu rundingan berjalan dengan baik dengan kedua-dua pihak berkata perjanjian semakin hampir dicapai selepas sepuluh pusingan rundingan sejak tahun lalu.

Namun, seperti yang kita tahu hubungan Amerika Syarikat-China semakin tegang selepas Trump meningkatkan tarif kepada 25% terhadap $200 billion barangan China dan terbaru beliau menghalang syarikat Amerika Syarikat daripada menjual teknologi komunikasi kepada Huawei. China pula membalas dengan tarif terhadap $60 billion barangan dari Amerika Syarikat.

Berita yang baru diterima menunjukkan, AS sedang bersedia untuk mengenakan tarif terhadap baki $300 billion import dari China.

2. Minit Mesyuarat The Federal Reserve

Empat Catalyst Utama Pasaran Global Minggu Ini (20-24 Mei 2019) 3

Bank Pusat AS ini akan mengeluarkan laporan minit mesyuarat pada Khamis (23 Mei 2019) pukul 2 pagi waktu Malaysia di mana ia telah mengekalkan dasar dalam mesyuarat yang lalu. Para pelabur menjangka pada mesyuarat itu bank pusat akan memberi isyarat tentang pemotongan kadar faedah tetapi ia ternyata meleset.

Pengerusi Fed, Jerome Powell menjelaskan rendahnya kadar inflasi hanyalah faktor sementara di samping menjelaskan data ekonomi yang lain kekal memberangsangkan.

Mesyuarat yang lalu berlangsung sebelum ketegangan perang perdagangan memuncak baru-baru ini, dan kita dijangka tidak mendapat isyarat lanjut tentang pendirian bank pusat terhadap isu ini. Malahan isu ini tidak dinyatakan langsung dalam kenyataan dasar monetari yang lalu dan Powell tidak terlalu menekankan ia dalam sidang medianya.

Minit mesyuarat pada Khamis berkemungkinan lebih ‘dovish’ daripada apa yang dijelaskan Powell dalam sidang media yang lalu.

3. Pilihanraya Eropah

Empat Catalyst Utama Pasaran Global Minggu Ini (20-24 Mei 2019) 4

Pilihanraya Eropah akan berlangsung pada Khamis hingga Sabtu (23-25 Mei 2019) yang mana melibatkan 28 negara di dalam Kesatuan Eropah (EU) termasuk United Kingdom. Kesatuan Eropah berhadapan pelbagai isu sepanjang lima tahun ini dan peranannya kekal penting di blok Eropah.  Parti yang berasaskan anti-pendatang dan Euroskeptik dijangka akan mendapat sokongan selepas krisis pendatang, Brexit dan pengangguran yang berlaku sepanjang lima tahun lalu.

Jika sokongan kerajaan-kerajaan Eropah merosot dan peningkatan kepada parti-parti yang radikal, matawang Euro dijangka lemah. Fokus penting akan terarah kepada pilihanraya di UK dan jika prestasi Parti Konservatif sekali lagi merosot ia akan memberikan tekanan kepada Theresa May selaku perdana menteri dan dijangka desakan untuk beliau meletak jawatan semakin memuncak.

4. Data Aktiviti Ekonomi Eropah

Empat Catalyst Utama Pasaran Global Minggu Ini (20-24 Mei 2019) 5

Ekonomi global semakin perlahan sejak beberapa bulan yang lalu dengan ketegangan perdagangan semakin memuncak baru-baru ini. Eropah khususnya dilihat sedang memulih, namun enjin pertumbuhan Eropah iaitu Jerman pula dilihat bergerak sebaliknya. Terdapat harapan sejak beberapa minggu lalu, di mana data menunjukkan Jerman kembali mencatat pertumbuhan pada suku pertama 2019.

Minggu ini tumpuan akan berfokus kepada data aktiviti ekonomi PMI di Eropah yang akan dikeluarkan pada Khamis. Tinjauan oleh Markit ini adalah petunjuk signifikan kepada pertumbuhan ekonomi di blok tersebut. Indikator paling signifikan iaitu indeks sektor pembuatan Jerman mencatat bacaan 44 pada Mei menunjukkan sektor lokomotif Jerman meleset begitu banyak.

Namun, sektor perkhidmatan kekal baik dengan bacaan 52.8. Pasaran sudah tentu mahu melihat bacaan sektor pembuatan meningkat di atas 50 mata yang menunjukkan pertumbuhan di dalam sektor penting itu..

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Empat Catalyst Utama Pasaran Global Minggu Ini (20-24 Mei 2019) 6

Komen

komen





Source link