Artikel Terkini

Empat Perkara Penting Yang Bakal Menggerakkan Pasaran Pada Minggu Ini (4-8 Mei 2020)


Pasaran Wall Street jatuh agak mendadak pada akhir
dagangan minggu lalu (1 Mei 2020) apabila ketegangan antara Amerika Syarikat
(AS) dan China dicetuskan oleh Presiden Donald Trump. Beliau mengancam China
dengan tariff baru ekoran penularan pandemik Covid-19.

Ketiga-tiga indeks utama dalam bursa saham AS jatuh melebihi
dua peratus dengan catatan kerugian sepanjang minggu lalu.

Ada juga pendapat mengatakan bulan Mei adalah tempoh
kebanyakan indeks saham membuat kejatuhan ditambah lagi dengan aliran tunai
pada akhir bulan.

Indeks Dow Jones Industrial Average (DJIA) yang
terdiri daripada 30 syarikat besar dalam bursa saham AS jatuh sebanyak 2.55%.
Indeks S&P 500 yang sering dijadikan panduan prestasi keseluruhan ekonomi
pula susut 2.81%. Indeks komposit Nasdaq pula ditutup 3.2% lebih rendah pada
Jumaat lepas.

Trump berkata pada Jumaat kerajaannya mungkin akan mengenakan tarif baru terhadap China atau membatalkan sebahagian obligasi hutangnya terhadap Beijing berikutan penularan wabak koronavirus baru tersebut. Trump mendakwa Amerika Syarikat mempunyai bukti yang menunjukkan virus tersebut datang daripada Institut Virologi di Wuhan.

Ancaman terbaru ini mencetuskan semula ketegangan perang perdagangan AS-China yang sudah lama reda sekaligus membayangi keyakinan pelabur terhadap pembukaan semula ekonomi.

Sepanjang bulan April pasaran Wall Street mencatat
kenaikan yang meyakinkan dengan indeks S&P 500 dan Dow Jones merekodkan
prestasi terbaik sejak 33 tahun yang lalu.

Prestasi positif ini turut memberi kesan positif kepada
pasaran global dengan indeks-indeks Asia termasuk indeks Nikkei 225, indeks
komposit Shanghai, indeks komposit Kuala Lumpur (KLCI) turut merekodkan
prestasi terbaik pada bulan April sejak jatuh ke paras terendah pada bulan Mac
2020.

Berikut adalah empat catalyst yang akan menjadi perhatian pelabur sepanjang minggu ini.

1. Pembukaan Semula Ekonomi

Penularan wabak Covid-19 belum berakhir di mana pakar
kesihatan menjangka ia akan berterusan dalam tempoh dua tahun. Kebanyakan
negara yang telah mengarahkan perintah berkurung di negara masing-masing kini
berkira-kira untuk membuka semula ekonomi secara berperingkat.

Antaranya adalah Malaysia sendiri yang membuka sebahagian besar sektor ekonomi pada Isnin (4 Mei 2020) selepas hampir dua bulan tempoh kawalan pergerakan. Amerika Syarikat telah mengumumkan pembukaan semula ekonomi lebih awal dan akan dilakukan secara berperingkat. Selain itu, negara-negara Eropah juga akan membuka semula ekonomi mereka termasuk Itali dan Jerman pada hari Isnin.

Pembukaan semula ekonomi tidak dapat dielakkan kerana kesan yang terlalu besar kepada ekonomi. Negara kecil seperti Malaysia sahaja mengalami kerugian RM63 billion sepanjang tempoh kawalan pergerakan seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis (30 April 2020).

Bayangkan kerugian yang dialami oleh negara-negara maju
seperti Eropah dan AS jika mereka menutup ekonomi lebih lama. Ia bukan sahaja
menjejaskan ekonomi domestik malah rantaian ekonomi global bakal terjejas lebih
teruk.

Daripada perspektif pasaran, berita pembukaan semula ekonomi memberi kesan positif kepada pasaran saham khususnya. Hal ini dapat dilihat dalam prestasi pasaran pada minggu lalu.

2. Ketegangan Amerika Syarikat – China

Ketegangan perang perdagangan tercetus semula sejak hampir setengah tahun apabila Presiden Donald Trump memperbaharui ancamannya terhadap China. White House merancang untuk mengenakan tarif baru kepada China yang didakwa oleh AS menjadi penyebab kepada penularan wabak Covid-19.

Amerika Syarikat dan China sebelum ini telah berunding semula
bagi mempersetujui beberapa perkara dalam perdagangan dua hala dalam usaha
menamatkan perang dagang yang berlangsung sejak Januari 2018.

Rundingan terakhir di antara kedua-dua negara telah memberikan hasil positif pada 15 Januari 2020 apabila perjanjian Fasa Satu AS-China termeterai khususnya dalam isu hak cipta intelektual, perkongsian teknologi dan tarif dalam sektor makanan dan pertanian.

Hal ini sebenarnya telah banyak memberi kelegaan kepada pasaran selepas perang dagang yang berlangsung selama dua tahun. Kini, ia dicetuskan semula oleh Presiden Trump yang menuduh wabak Covid-19 berasal daripada makmal virologi di Wuhan dan bakal menambah tarif terhadap China.

3. Data Non-Farm Payroll (NFP)

Data NFP adalah laporan ekonomi yang ditunggu-tunggu pada
setiap bulan lebih-lebih lagi dalam situasi penularan wabak pada masa ini. Seperti
yang telah dilaporkan sebelum ini, Amerika Syarikat mencatatkan hampir 30 juta
pengangguran dalam tempoh tidak sampai dua bulan ekoran pemberhentian pekerja
di negara itu.

Minggu ini kita bakal mendapat maklumat yang lebih lanjut
tentang situasi semasa pasaran pekerjaan daripada laporan data NFP pada Jumaat
(8 Mei). Secara keseluruhan bacaan sudah tentu merekodkan kejatuhan yang begitu
mendadak dalam pasaran buruh pada bulan April.

Penganalisa pasaran menjangkakan pengurangan 21 juta
pekerjaan dalam sektor bukan perladangan (Non-Farm) dengan kadar
pengangguran mencecah 16%.

Kanada pada masa yang sama turut mengeluarkan data pasaran buruhnya dengan jangkaan kehilangan lima juta pekerjaan. Kadar pengangguran pula melonjak daripada 7.8% kepada 20% di antara bulan Mac dan April 2020.

4. Keadaan Pasaran Komoditi Hitam

Selepas tempoh yang mencabar, harga minyak mentah menokok 17%
pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya. Pengukuhan dalam penanda aras
West Texas Intermediate (WTI) dipacu oleh pertambahan kecil dalam stok
minyak mentah dan juga kejatuhan dalam inventori gasolin di Amerika Syarikat.

Tetapi secara keseluruhannya, peningkatan dalam harga
komoditi pada minggu lalu disokong oleh keyakinan pelabur di dalam pasaran
dengan penemuan ubat yang dapat membantu penyembuhan individu daripada wabak
koronavirus iaitu remdesivir.

Minggu ini pasaran minyak mentah akan memberi tumpuan kepada
perkembangan tentang pembukaan semula ekonomi kerana ia dapat meningkatkan
semula permintaan minyak mentah global.

Selain itu, data stok bekalan minyak mentah yang dikeluarkan
oleh Institut Petroleum Amerika (API) akan dikeluarkan pada hari Selasa dan
juga laporan yang dikeluarkan oleh Pentabiran Maklumat Tenaga (EIA) pada hari
Rabu dan Khamis.

Sumber Rujukan:

Disediakan oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini berkhidmat di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.



Source link