Artikel Terkini

Falsafah Dalam Perdagangan Saham, Tulip Mania vs Healthcare Rally


Mereka yang tidak belajar dari sejarah pasti akan mengulanginya“. – George Santayana

Ketika mula-mula memahami tentang fenomena euphoria yang berlaku ke atas saham-saham yang terlibat dalam sektor penjagaan kesihatan (healthcare), rupa-rupanya euphoria ini pernah berlaku sejak 400 tahun yang lalu dalam dunia perdagangan saham.

Apa Itu Euphoria?

Euphoria ialah satu situasi yang mana kita dapat lihat kaunter CAREPLS daripada harga supper penny bawah 30 sen, mencanak-canak naik harganya sehingga bergelar kaunter bangsawan.

Ternyata, apabila diteliti perkara ini menjadi refleks kepada falsafah “History repeats itself.”

Sejarah Memang Berulang-Ulang?

Amsterdam Stock Exchange (ASE) merupakan bursa dagangan saham yang diiktiraf sebagai paling tua yang wujud di dunia. Mengikut sejarah ia ditubuhkan oleh Syarikat Hindia Timur Belanda pada tahun 1602.

Walaupun secara tidak rasmi Antwerp Stock Exchange dikatakan muncul lebih awal sekitar pertengahan kurun ke-14, namun urusan dagangan yang lebih sistematik, tersusun, tersohor dan mendapat tumpuan masyarakat seluruh Eropah hanya diperakui setelah tertubuhnya Amsterdam Stock Exchange.

Kali ini, saya ingin membawa anda semua untuk menelusuri sebuah sejarah hitam yang melanda ASE setelah 30 tahun perjalanannya. Sejarah yang dimaksudkan adalah berkenaan Tulip Mania.

Apakah Itu Tulip Mania?

Tulip Mania berlaku ketika era Dutch Golden Age di mana harga kontrak untuk kuntuman bunga Tulip mencecah kenaikan yang melampau dan akhirnya tersembam rebah dengan mendadak pada bulan Februari 1637.

Tragedi kejatuhan harga Tulip ini merupakan ‘Speculative Bubbles’ yang pertama berlaku dalam sejarah ketamadunan manusia.

Apa Punca Berlakunya Tulip Mania?

Awal era 1630-an merupakan tahun gemilang di Eropah. Walaupun wabak hawar melanda, namun kesan wabak ini memberi implikasi positif kepada kenaikan gaji pekerja (masa wabak risiko kematian meningkat, kurang tenaga kerja) dan secara tidak langsung menambah baik pendapatan.

Tulip menjadi satu-satunya komoditi fizikal yang didagangkan tetapi bukan dalam Beurs (bangunan Amsterdam Stock Exchange), sebaliknya urusan jual beli berlaku di mana saja; di jalanan, pub, dan di kedai bunga. Tulip pada mulanya bersifat ‘informal spot market’ namun ketika kegilaan dan ketaksuban masyarakat Eropah memuncak, ia telah berubah menjadi komoditi paling bernilai yang memacu permulaan inovasi instrumen kewangan.

Penjual Tulip menjual Tulip kepada pembeli, di mana Tulip berkenaan belum/sedang ditanam. Dengan kata lain, berlakunya Futures di mana proses jual beli terlaksana melalui nota aku janji untuk penghantaran Tulip bagi beberapa bulan ke depan.

Nota aku janji ini dijadikan jaminan untuk pemodal mengeluarkan modal tanaman, seterusnya mengurangkan risiko mereka kerana Tulip yang ditanam itu nanti akan menjadi sandaran collateral.

Contoh gambaran nota aku janji Tulip

Masalah mula timbul apabila nota aku janji ini tidak berupaya membuktikan hak pemilikan (si pembeli), tidak juga berupaya membuktikan berlaku aktiviti penanaman, tiada jaminan kualiti, apatah lagi tiada regulasi yang memastikan proses dagangan komoditi Tulip ini sebagai sah.

Memandangkan penghantaran Tulip hanya berlaku beberapa bulan ke depan, maka nota aku janji tersebut sering bertukar tangan dari seorang penjual-pembeli dengan volatiliti harga yang ditentukan sepenuhnya oleh spekulasi, dan bukannya tawaran-permintaan yang sebenar.

Seperti yang kita pelajari mengenai keruntuhan pasaran di zaman moden, apabila bandwagon effect merasuk masyarakat yang kesemuanya ‘into the scene’ Tulip daripada golongan penjual bunga, petani, pembeli semuanya menjadi tidak terkawal. Ada yang sanggup bergolok bergadai demi mendapatkan posisi dalam pasaran Tulip, maka akhirnya pada 5 Februari 1637, fenomena Tulip Mania telah runtuh sehabis-habisnya.

Bagaimana Tulip Mania Memberi Impak Ekonomi Kepada Masyarakat Eropah?

Di masa kemuncak, harga purata sekuntum Tulip melebihi gaji setahun seorang pekerja mahir di Eropah, dan ada pendapat menyatakan harganya lebih mahal daripada sebuah rumah. Tulip dijual pada nilai 4000 florins (matawang Belanda).

Disebabkan harga tinggi ini merudum dalam tempoh kurang seminggu, maka ramailah pemilik Tulip ini jatuh muflis dengan serta-merta.

Apa Yang Kita Boleh Pelajari Dari Kejadian Tulip Mania?

Tulip Mania merupakan reflect kitaran tragedi bubbles yang melanda dunia contohnya Wall Street Crash 1929, Bubble Dot-Com pada tahun 200 dan Subprime Crisis pada tahun 2007.

Dalam bahasa mudahnya, walaupun Tulip Mania ini telah berlaku 400 tahun yang lalu, namun ianya tetap berevolusi menjadi kitaran financial bubbles kerana melibatkan psikologi manusia.

Pelabur hilang pedoman, tiada lagi rational expectations, swing harga yang melampau, spekulasi yang terus inflate harga pasaran dan sektor – sampai gilanya manusia ketika itu mereka lebih menyayangi sekuntum Tulip berbanding sebuah rumah yang sedang mereka diami bersama keluarga!

Sekarang, buka mata dan pandang di sekeliling.

Pasaran sedikit sebanyak tetap berkisar ke arah spekulasi yang irrational. Kita mesti selalu berhati-hati. Jangan tergopoh-gapah mengikut trend tanpa membuat kajian ilmiah tentang sesuatu pasaran yang sedang hype.

Healthcare Rally

Semasa sektor healthcare dah sampai puncak baru-baru ini, kita baru sibuk nak beli disebabkan melihat keuntungan orang lain yang dah ribuan percent, saya percaya ramai yang tersangkut di puncak CAREPLS, HLT dan ADVENTA.

Baca: Saham-Saham Glove Terus Terbang.

Emosi dan perasaan yang tidak bersandar kepada ilmu dan fakta mesti dibendung sebaiknya. Ini kerana Tulip Mania dan segala bubbles yang berlaku telah mengajar kita bahawa ketamakan, ketaksuban dan sikap membabi buta sebegini tidak lain akan menjerumus dan merosakkan manusia tidak mengira dekad, era mahupun zaman.

Akhir kata, jadilah seseorang pedagang yang rasional bermula dengan menjadi seorang manusia yang rasional. Permulaan untuk menjadi manusia yang rasional dimulakan dengan menjadi orang yang bersederhana dalam setiap hal kehidupan kita.

Kitaran Tragedi Bubbles

This image has an empty alt attribute; its file name is image-2.png

Semoga Tuhan merahmati kita dalam setiap urusan kita inshaallah.

Ditulis oleh Fatini Ismadi, graduan dari Beijing Foreign Studies University dalam bidang Kesusasteraan Bahasa Cina dan Ekonomi dan mengendalikan page Serikandi Saham.



Source link