Uncategorized

FDI Malaysia berpotensi meningkat daripada perang perdagangan AS-China – Tun Mahathir



KUALA LUMPUR: Malaysia berada di kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada syarikat antarabangsa yang berhasrat memindahkan operasi mereka dari China untuk mengelakkan tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam wawancara dengan Kumpulan Perniagaan Oxford (OBG) baru-baru ini, Perdana Menteri turut mengakui bahawa negara anggota ASEAN turut terjejas oleh penurunan permintaan disebabkan ekonomi China yang semakin perlahan susulan pertikaian perdagangan yang berlarutan dengan AS mula memberikan kesan negatif.

“Bagaimanapun, wujud kemungkinan bahawa, disebabkan sekatan perdagangan yang dikenakan AS, banyak syarikat yang beroperasi di China akan menimbangkan untuk berpindah ke luar negara.

“Sekiranya ini yang berlaku, mereka mungkin menimbangkan negara Asia Tenggara. Sesetengah syarikat sudah berbuat demikian, khususnya Vietnam yangtelah mendapat manfaat daripadanya, dan Malaysia dilihat sebagai pilihan menarik,” katanya dalam wawancara itu yang diadakan di luar perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York bulan lepas.

Wawancara itu yang dimuat naik dalam laman web OBG, adalah sebahagian daripada usaha baharu syarikat penyelidikan dan penasihat global itu untuk memberikan risikan perniagaan mengenai Malaysia kepada audien antarabangsa yang berminat dengan peluang perniagaan, perdagangan dan pelaburan di pasaran yang sedang pesat membangun.

Berhubung isu berkaitan China, Dr Mahathir berkata Malaysia tidak akan menganggu status quo sedia ada di Laut China Selatan dengan syarat ia kekal terbuka kepada aktiviti perkapalan dan komersial dan selagi China tidak cuba mengenakan sebarang sekatan terhadap pelayaran bebas di rantau itu.

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai pendekatan berhemah dan peranan kepimpinan Malaysia dalam dunia Islam dan menzahirkan hasratnya untuk memperkukuhi hubungan ekonomi dengan negara majoriti Islam.

“Walaupun Malaysia mempunyai sejumlah besar penduduk bukan Islam, ia masih dianggap sebagai negara Islam dan penduduk dunia Islam yang lain melihat Malaysia sebagai contoh bagi pembangunan ekonomi dan kestabilan politik …(tetapi) untuk menyaksikan pertumbuhan selanjutnya, kami memerlukan negara-negara Islam untuk mengurangkan sekatan supaya perdagangan menjadi lebih terbuka dan telus,” katanya.

Berhubung isu domestik, Dr Mahathir menegaskan amat penting bagi ”Wawasan Kemakmuran Bersama 2030′ (WKB2030) yang dilaksanakan kerajaan adalah berkesan dalam menggalakkan keterangkuman dan pertumbuhan mampan atau negara akan berdepan kemelut politik dan sosial.

WKB 2030 berobjektif untuk menambah baik penstrukturan ekonomi Malaysia, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah dan ketaksaksamaan pengagihan kekayaan.

“Kami memerlukan dasar yang berkesan untuk menggalakkan keterangkuman dan pertumbuhan mampan. Selagi jurang ekonomi wujud dalam negara, sesetengah rakyat akan berasa tidak gembira dan malah mungkin menolak kerajaan.

“Kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan ketidaksamarataan, terutamanya antara penduduk bandar dan luar bandar, dan antara rakyat pelbagai kaum.

“Amat penting untuk kami menangani isu ini untuk mengurangkan jurang perbezaan antara kekayaan dan peluang,” katanya.

Pentadbiran Dr Mahathir mahu menggalakkan kemakmuran menerusi pelaksanaan enjin pertumbuhan baharu yang memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh ekonomi digital dan Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0).

Untuk mencapai objektif itu, dasar negara mengenai Industri 4.0, iaitu Industry4WRD dilancarkan pada Oktober 2018 dengan matlamat untuk memacu transformasi digital dalam sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan yang berkaitan.

Sementara tumpuan diberikan untuk meningkatkan produktiviti dan keupayaan syarikat dan pekerja domestik, Dr Mahathir berkata pelaburan langsung asing (FDI) akan memainkan peranan penting dalam memacu peralihan Malaysia kepada ekonomi maju.

“FDI telah menyumbang secara signifikan terhadap pembangunan negara sejak sekian lama. Kini, dengan kemunculan ekonomi digital, ia dijangka bakal menyumbang lebih banyak lagi.

“Kami berharap untuk menggalakkan syarikat yang telah berkembang maju dari segi tranformasi digital untuk bertapak di Malaysia, memperkenalkan sistem mereka dan memanfaatkan tenaga kerja kami, yang telah dan sedang dilatih untuk memenuhi keperluan ekonomi digital,” katanya.

— BERNAMA





Source link

Related Posts