Uncategorized

Firma penyelidikan pelaburan optimistik prestasi kewangan Astro



EMPAT firma penyelidikan pelaburan utama negara masih optimistik dengan unjuran prestasi Astro Malaysia Holdings Bhd susulan pengumuman keputusan suku pertama syarikat itu untuk tahun kewangan 2020.

Firma MIDF Research dan Hong Leong Investment Bank menaik taraf penarafan mereka kepada Beli, manakala Maybank IB Research mengekalkan penarafan Beli dan Kenanga memberi penarafan “Outperform” kepada saham Astro.

Ini khasnya susulan pendapatan atau keuntungan bersih Astro yang menepati atau menjangkaui ramalan keempat-empat firma ini.

“Keuntungan bersih suku pertama tahun kewangan 2020 melebihi jangkauan kami, tetapi dividen jatuh kerana pendapatan pelangganan televisyen menyusut.

“Walaupun pendapatan langganan televisyen menyusut, kos memperoleh kandungan menampan impaknya,” kata Maybank.

Bergerak ke hadapan, mereka menjangka inisiatif penjimatan dan penstrukturan semula yang sedang dilakukan Astro memadai untuk menampan sebarang risiko penyusutan pendapatan pada suku-suku akan datang.

Menurut Kenanga, ini termasuk inisiatif Astro memperkasakan kandungan vernakular, mengumumkan usahasama baru untuk penghasilan kandungan bersama iQIYI dan HBO GO serta usaha berterusan untuk menjimatkan kos.

“Mengambil kira semua ini, kami setuju dengan prioriti Astro untuk menguatkan segmen asasnya dan pada masa yang sama, terus memperbanyakkan inisiatif untuk mengoptimumkan kos,” katanya.

Manakala Hong Leong Investment Bank menyemak naik unjuran pendapatan Astro bagi tahun kewangan 2020-2021 sebanyak 14 peratus, di samping menyemak naik harga sasaran saham Astro kepada RM1.67.

“Kami berpendapat Astro akan berjaya menampan penyusutan pendapatan langganan televisyen, dengan mengurangkan kos membeli kandungan sebanyak 33-34 peratus daripada pendapatan (dengan memfokus lebih kepada kandungan vernakular dan bukan kandungan Hollywood) di samping menikmati penjimatan kos daripada langkahnya melaksanakan VSS baru-baru ini.

“Dalam jangka masa sederhana ke panjang, kami juga berjaya segmen beli-belah dari rumah (home shopping) berupaya meningkatkan sumbangannya kepada pendapatan keseluruhan,” katanya.

Sementara MIDF Research senada dengan jangkaan ini, dengan menjangkakan fokus kepada kandungan vernakular, inisiatif penjimatan perbelanjaan dan penstrukturan semula tenaga kerja akan menjadi enjin utama yang akan memberi sokongan kewangan kepada syarikat tersebut.

“Tambahan lagi, Astro terus menguatkan lagi platform televisyen berbayar dan strimnya dengan kandungan premium yang lebih menarik menerusi usahasama eksklusif bersama HBO GO dan iQIYI.

“Kami berpendapat ini akan menjadi perbezaan utama Astro untuk pelanggan memilih NJOI melebihi MYTV apabila analog dihentikan sama sekali pada suku ketiga 2019,” katanya.

Sementara Maybank juga berharap kerajaan akan membendung penularan kandungan cetak rompak dengan memantau pengimportan set TV Android dengan lebih rapat, mengarah penyedia perkhidmatan internet untuk menghentikan akses internet kepada set TV Android, menubuhkan satu agensi khas untuk memerangi penyebaran kandungan cetak rompak serta mengharamkan penjualan set TV Android secara keseluruhannya.





Source link

Related Posts