Artikel Terkini

Fungsi Dan Gaya Seiring Dalam Kediaman 760 Kaki Persegi


Diberi kebebasan penuh oleh pemilik merupakan impian bagi kebanyakkan pereka. Kerana selain perlu menggambarkan dan melukis pelan rekabentuk, pereka juga bertanggungjawab menganggarkan kos, mendapatkan produk serta bahan-bahan dan juga memastikan segala spesifikasi rekaan dapat dipenuhi dalam jangka masa yang telah dipersetujui. Jika pemilik berpuas hati, sudah tentunya pereka juga akan tumpang gembira.

BAIK PULIH STRUKTUR ASAL
Agak sukar mahu memulakan kerja mendekorasi sekiranya keadaan sedia ada tidak menepati piawaian yang sepatutnya. Jadi perkara pertama yang Encik Khairul lakukan selaku pereka hiasan dalaman kediaman ini adalah memperbaiki keadaan asal menjadi lebih sempurna bagi memudahkan proses dekorasi. Setiap sudut perlu tampil sempurna sebelum memulakan kerja-kerja mendeko kerana walau satu kesilapan kecil, ia mungkin boleh memberi kesan kepada perkara yang lebih besar.
Kerosakan seperti paip bocor, dinding yang tidak rata, jubin yang retak dan sebagainya perlu dilaporkan kepada pihak pemaju sebelum anda pindah masuk ke rumah. Keadaan seperti ini jika tidak dibendung akan meyusahkan dan melambatkan proses mendekorasi kediaman.

CABARAN “BLANK CANVAS”
Kediaman persinggahan yang terletak di EkoCheras ini mempunyai tingkat mezanin bagi membahagikan antara ruang privasi dan ruang sosial di bawah. Rekabentuk seperti ini telah membenarkan pemilik untuk mendiami rumah ini dengan lebih selesa dan nyaman.
Tanpa menetapkan sebarang konsep mahupun tema untuk kediaman, pemilik memutuskan untuk memberi tumpuan pada fungsi dan praktikaliti kediaman duplex SOHO ini. Pereka telah diberikan sebuah “blank canvas” untuk berkarya dengan meletakkan keperluaan dan keinginan pemilik sebagai keutamaan.
Sifat tuan rumah amat fleksibel dan terbuka kepada cadangan menjadikan proses pengubahsuaian ini berjalan dengan lancar. Ini juga memberikan pereka kelonggaran dalam merealisasikan dekorasi pilihannya. Seperti pemilihan feature wall di ruang tamu yang dihiasi kertas dinding bercorak, sesuai dengan konsep moden inggeris yang ingin diketengahkan. Ia dihiasi dengan panel kayu bersalut rona emas, menjadikannya lebih anggun dan eksklusif.

SIMETRI PELENGKAP DEKORASI
Menurut Encik Khairul, ruang makan kediaman ini merupakan titik permulaan bagi proses dekorasi. Kerana walaupun lebar kediaman tidak terlalu luas, di ruang ini ada terletaknya siling “double volume” setinggi 18 kaki yang menjadi salah satu ciri menarik dalam kediaman ini.
Candelier kristal telah dijadikan sebagai titik fokal bagi menentukan simetri ruang. Segalanya perlu selari dan mengikut panduan candelier tersebut kerana ia akan menentukan susun atur seluruh kediaman.
“Untuk kediaman dengan double volume, kita kena pastikan pemilihan lampu dan aksesori lain proportionate (bersekadar) dengan saiz ruang. Barulah kita akan berjaya dapatkan wow factor yang diimpikan”, kata Encik Khairul sebagai tip untuk para pembaca.

BIJAK MANFAAT RUANG TERHAD
Disebabkan saiz rumah yang agak kecil, tiada sudut atau ruang yang dibiar tanpa fungsi. Setiap kawasan akan diguna sebaik mungkin dan dijadikan sebagai ruang penyimpanan agar kediaman kelihatan lebih kemas dan teratur.
Ruang bawah tangga contohnya, telah diberi satu fungsi yang mengubah dinamik kediaman secara keseluruhan. Jauh berbeza dengan rekabentuk asal, Encik Khairul telah berjaya melakukan transformasi yang ketara dengan membinakan sebuah stor menyimpan barang.
Begitu juga untuk ruang bilik tidur diatas. Pemilik dan pasangan mempunyai 3 orang anak jadi Encik Khairul telah memuatkan katil bersaiz super king yang dilengkapi bersama dua pull out bed bersaiz single, cukup selesa buat mereka sekeluarga.

+ INFO KEDIAMAN
Nama Pemilik: Dato’ Norazlanshah Bin Hazali dan Dato’ Mashita Binti Masri
Jenis Kediaman: Duplex SOHO
Konsep: Moden Inggeris
Keluasan: 762 kaki persegi
Spesifikasi: Satu Bilik, Ruang Makan dan Ruang Tamu Konsep Terbuka, 2 Bilik Air



Source link