Uncategorized

Gara-gara nak cantik, tak sedar silikon boleh akibatkan kanser!

Gara-gara nak cantik, tak sedar silikon boleh akibatkan kanser! 1



Gara-gara nak cantik, tak sedar silikon boleh akibatkan kanser! 2

KUALA LUMPUR: Berdepan penyakit kanser! 

Itu akibat daripada tindakan segelintir individu yang mahu kelihatan menawan atau memiliki bentuk badan yang cantik tanpa memikirkan risiko yang bakal menimpa mereka gara-gara menyuntik silikon pada bahagian badan.

Menurut doktor perubatan estetik, Dr Aidil Azry Mokhtar, mangsa akan mengalami keradangan yang teruk di bahagian yang disuntik akibat penggunaan silikon yang berbahaya.

“Sebenarnya ia tidak boleh diletakkan di mana-mana bahagian badan tetapi apa yang berlaku khasnya di negara kita sendiri, mangsa-mangsa mendapatkan suntikan silikon daripada pusat-pusat kecantikan yang tidak bertauliah.

“Sebagai doktor, kami tidak menggunakan filler jenis silikon kerana ia berbahaya, dan kebiasaanya menggunakan jenis Hyaluronic Acid kerana ia lebih selamat dan 100 peratus (%) sama dengan bahan yang ada di dalam badan manusia,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Ahad.

Jelasnya, suntikan silikon akan kekal dan “melekat” pada tisu badan walaupun mangsa telah menjalani pembedahan membuang silikon.

Menurut beliau, antara silikon yang kerap disuntik adalah jenis dhesive rubber yang dihasilkan daripada unsur yang diambil daripada batu dan pasir serta digunakan dalam industri seperti automotif dan pembinaan.

“Jadi apabila silikon itu melekat (pada bahagian badan), ia akan menyebabkan ‘body deformity’ iaitu kecacatan badan yang teruk di kawasan yang disuntik.

“Kalau ia disuntik di bahagian muka, biasanya kita akan lihat kawasan disuntik itu menjadi berketul-ketul, begitu juga dengan suntikan di kawasan punggung,” ujarnya lagi.

Dr Aidil Azry juga tidak menolak kemungkinan ramai terpengaruh melakukan rawatan filler silikon dengan pakar kecantikan kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah.

“Saya diberitahu oleh mangsa, silikon boleh diperolehi pada harga antara RM150 hingga RM200 untuk suntikan silikon pada bahagian bibir.

“Berbanding  Hyaluronic Acid ia boleh mencecah sehingga RM1,000 hingga RM2,000 tetapi bahannya lebih selamat dan berkualiti,” katanya.

Justeru itu, Dr Aidil Azry menasihati individu yang berhasrat untuk membuang suntikan silikon supaya mendapatkan rawatan daripada doktor pakar yang bertauliah bagi mengelakkan kemudaratan kepada kesihatan.

“Cari doktor pakar bedah plastik yang bertauliah, yang mempunyai banyak pengalaman menguruskan kes-kes seperti ini dan keluarkan (silikon) sebanyak mungkin dari badan. Kedua, rawat balik kawasan yang disuntik yang mana tisu-tisu dikeluarkan harus diganti semula,” ujarnya.





Source link