Uncategorized

Gelongsor air terpanjang dunia dibuka Ogos ini

Gelongsor air terpanjang dunia dibuka Ogos ini 1



Gelongsor air terpanjang dunia dibuka Ogos ini 2

GEORGE TOWN: Gelongsor air terpanjang di dunia sepanjang 1.140 kilometer di Taman Tema Escape Pulau Pinang di Teluk Bahang di sini akan dibuka kepada orang ramai pada Ogos ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sim Choo Kheng.

Beliau berkata gelongsor dengan ketinggian 70 meter itu dijangka siap pada fasa ketiga ‘Gravity Play’, hujung bulan depan dan akan mengatasi rekod dunia 0.602km milik taman tema Action Park di Vernon, New Jersey, Amerika Syarikat pada 2015.

Menurutnya, gelongsor itu yang dibina di kawasan bukit menghubungkan taman permainan ‘Adventure Play’ dan ‘Water Play’ dan wakil daripada Guinness World Records akan hadir untuk meneliti kelengkapannya sebelum memberi pengiktirafan dunia.

“Cabaran terbesar dalam proses pembinaan adalah untuk mengelak menumbang pokok di sekeliling kawasan bukit bagi mengekalkan kehijauan alam sekitar di kawasan tersebut,” katanya pemberita ketika lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Warisan, Budaya dan Seni Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin, ke taman tema berkenaan, pada Ahad.

Sim berkata pelaburan dalam fasa ketiga “Gravity Play” telah menelan kos sebanyak RM10.6 juta termasuk pembinaan satu laluan kereta kabel untuk membawa pengunjung ke puncak bukit.

“Kereta kabel terbabit akan menghubungkan antara kaki bukit hingga ke permulaan gelongsor air terpanjang itu dan kereta kabel berkenaan amat unik berikutan ia akan melalui kawasan hutan,” katanya.

Beliau berharap Escape akan menjadi pusat tarikan pelancong dalam usaha memajukan industri pelancongan dan memberi banyak manfaat kepada semua golongan masyarakat di Teluk Bahang.

Setakat ini, Escape Pulau Pinang mempunyai lebih 40 tarikan utama termasuk meneroka terowong, memanjat pokok, “flying fox’ dan ‘kite flyers’ di “Adventureplay” dan “water slide”, “lazy river”, “speed racer” dan “waveball” di ‘Waterplay’.

— BERNAMA





Source link