Uncategorized

Gerakan #Not4Kids beri kesedaran rokok elektronik, vape bukan untuk kanak-kanak!


PENGGUNAAN rokok elektronik atau vape menjadi alternatif untuk perokok berhenti merokok.

Namun begitu, peranti terbabit kini mudah dibeli tanpa pengawasan dan lebih membimbangkan, kanak-kanak mula menggunakan peranti tersebut.

Antara kerisauan yang dikemukakan dalam laporan media yang menjadi tular di media sosial adalah peranti yang direka bentuk sebagai jam tangan digital yang membolehkan pelajar membawa peranti ke sekolah tanpa dikesan.

Kebimbangan lain adalah termasuk penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ yang meniru rokok dan rasa vape yang khusus menyasarkan kanak-kanak seperti ‘bubble gum’ dan ‘cotton candy’ atau gula-gula kapas.

Bagi mengekang perkara terbabit, NCIG telah melancarkan gerakan #NotForKids untuk menggesa seluruh industri bertindak dalam memastikan semua produk berkaitan selamat daripada jangkauan kanak-kanak bawah umur.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NCIG, Shariffuddin Bujang mengutuk tindakan pengilang dan peruncit yang tidak bertanggungjawab dan mengejar keuntungan dengan menjual produk pasaran dewasa kepada kanak-kanak di Malaysia.

“Kami bimbang dengan kes-kes yang berlaku di sekolah dan kami bersedia membantu pihak berkuasa, pentadbir sekolah, dan kumpulan masyarakat untuk berperang melawan perkara ini.

“Gimik seperti itu direka untuk menyusup masuk ke pasaran kanak-kanak. Kami di NCIG tidak akan membiarkan atau menyokong tindakan mereka yang membuat dan menjual peranti ini dan dari situ, timbulnya gerakan #Not4Kids,” katanya.


Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NCIG, Shariffuddin Bujang

#Not4Kids adalah seruan untuk semua pengeluar dan penyedia produk dan perkhidmatan rokok elektronik untuk melakukan segala yang mungkin dalam kuasa mereka untuk memastikan bahawa mereka secara efektif melindungi kanak-kanak di bawah umur daripada membeli dan menggunakan produk-produk dewasa.

“Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia dari April 2018, dianggarkan lebih daripada setengah juta pelajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 merokok, dimana ia juga dilarang keras dijual kepada anak-anak di bawah umur.

“Ini adalah masa untuk semua di dalam industri ini untuk mengambil peranan yang lebih bertanggungjawab dan proaktif untuk menjaga belia kita.

“Ibu bapa dan orang ramai juga boleh memainkan peranan mereka dalam pergerakan #NotForKids dengan berwaspada dan memastikan kanak-kanak dan remaja dilindungi dengan selamat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyasarkan anak-anak di bawah umur,” katanya lagi.

NCIG telah mengambil langkah-langkah segera berikut untuk memastikan bahawa semua produknya terus selamat dari jangkauan dari kanak-kanak di bawah umur dengan menjalankan penguatkuasaan yang lebih teguh di seluruh rantaian jualan dan edarannya untuk memastikan semua ejen dan peruncit tidak menjual produk NCIG kepada kanak-kanak di bawah umur.
 
Seterusnya, penguatkuasaan pendaftaran mandatori menggunakan kad pengenalan bagi pengaktifan peranti NCIG dan semua pembungkusan runcit produk NCIG sedang direka bentuk semula untuk membawa label amaran yang lebih jelas yang melarang jualan kepada kanak-kanak bawah umur serta larangan kemasukan ketat oleh kanak-kanak di semua premis runcit NCIG di seluruh dunia.





Source link