Artikel Terkini

Gotong-royong di Pulau Kapas, elak lambakan sampah musim tengkujuh


MARANG: Walaupun Pulau Kapas ditutup kepada orang ramai dari Oktober hingga Februari, Majlis Daerah Marang tetap mengambil langkah proaktif mengadakan operasi pembersihan secara berkala sekurang-kurangnya dua bulan sekali di pulau peranginan itu.

Ini kerana tinjauan Bernama di pulau itu mendapati walaupun tanpa pelawat, sampah sarap tetap muncul di kawasan pantainya, bukan setakat botol dan cebisan plastik, tetapi juga serpihan bot, tali dari kapal-kapal besar serta pukat-pukat nelayan, yang dibawa ombak dan angin kuat terdampar di pantainya.

Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abd Razak berkata pihaknya berkolaborasi dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, bomba dan jabatan lain dalam memastikan operasi pembersihan berkala itu benar-benar mencapai objektifnya.

“Bayangkan jika selama empat bulan (Okt hingga Feb) sampah tidak dikutip. Meskipun tiada pelancong seperti mana ketika bulan lain tetapi angin dan ombak kuat menghayutkan macam-macam sampah ke sini,” katanya kepada Bernama ketika program gotong-royong di Pulau Kapas di sini pada Selasa.

“Apabila pusat peranginan dibuka semula kira-kira pertengahan Feb, pengusaha pusat peranginan akan mengalami kesukaran dalam membersihkan kawasan sekitar, namun dengan adanya operasi ini, mereka boleh meneruskan perniagaan mereka secepat mungkin,” tambahnya.

Aktiviti selama empat jam itu dilakukan seramai 35 orang, yang terdiri daripada pelbagai jabatan kerajaan di daerah Marang.

Selain memungut sampah, mereka turut mengecat kawasan laluan pejalan kaki bagi menambah keceriaan serta memperbaiki kedudukan beberapa guni pasir yang dijadikan benteng penahan ombak.

Pulau Kapas mempunyai keluasan kira-kira 21.33 kilometer persegi dan tempoh perjalanan ke pulau itu hanya mengambil masa antara 15 dan 20 minit dari jeti Marang.

— BERNAMA





Source link