Artikel Terkini

Halaman rumah bertukar menjadi ladang sayuran hidroponik


KUCHING : Minat bertani bukan sekadar hobi semata-mata buat seorang pegawai imigresen yang bertugas di Sarawak, Loretta Evelyn Deri.

Kini, dirinya mampu menjana pendapatan daripada hasil pertanian yang diusahakan melalui tanaman sayuran hidroponik.

Menariknya, minat untuk mengusahakan hasil tani itu bermula setelah beliau berkunjung ke pameran agro pada dua tahun lalu.

Minat tercetus setelah beliau berkunjung ke satu pameran agro di Sarawak satu ketika dahulu. -Gambar Astro AWANI

Sejak dari itu, Loretta yang mesra disapa Olynn menanam hasrat untuk mewujudkan ladang sayuran hidroponik miliknya sendiri dengan mentransformasikan halaman rumah menjadi ladang mini.

“Sebenarnya apa yang dilakukan saya adalah tanaman dengan kaedah hidroponik. Apa yang ditanam kebanyakannya adalah organik.

“Saya mempunyai lima set hidroponik yang saya usahakan,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Berbakti kepada tanah, Olynn memanfaatkan masa terluang dengan mempelbagaikan hasil tanaman. -Gambar Astro AWANI

Tambah Olynn lagi, masa terluang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimanfaatkan sebaiknya dalam mempelbagaikan jenis sayuran.

Ini kerana katanya terdapat permintaan dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan. Justeru, Olynn tidak melepaskan peluang ini untuk mengkomersilkan tanamannya.

“Saya menanam bayam Brazil. Ia sesuatu yang baharu di sini. Saya beri mereka cuba dan mereka menyukainya.

“Selain bayam, saya juga ada menanam cili hijau,” ujarnya.

Selain itu, menyentuh mengenai penggunaan racun perosak, kata Olynn, sekurang-kurangnya dia tahu sayuran yang diusahanya itu selamat dimakan kerana penjagaannya tidak melibatkan sebarang bahan kimia berbahaya seperti yang biasa digunakan ke atas tanaman lain di pasaran.

Cili hidroponik yang berjaya dihasilkan. -Gambar Astro AWANI

Namun, Olynn tidak keseorangan dalam mengusahakan tanaman di situ. Bagi suaminya, Roy Lincoln yang juga seorang guru, usaha itu dilihat mempunyai peluang besar dalam pasaran.

“Saya amat gembira melihat apa yang dilakukan isteri saya ini. Bukan sekadar dapat menjana pendapatan sampingan, aktiviti bercucuk tanam ini juga merupakan satu aktiviti yang amat berfaedah di mana hasil tuaiannya dapat dinikmati oleh keluarga dan kemudian dijual kepada orang ramai,” kongsinya.





Source link