Artikel Terkini

Harga Minyak Mentah Dunia Menjunam 10% Selepas OPEC Gagal Dapatkan Persetujuan Rusia


Harga minyak mentah menjunam sebanyak 10% pada hari Jumaat (6 Mac 2020) sehingga ditutup pada paras US$41.28 setong (WTI) berikutan keengganan Rusia untuk mempersetujui cadangan Organization of The Petroleum Exporting Countries (OPEC) untuk menambah pemotongan bekalan minyak mentah.

Terkini : Selepas jatuh sebanyak 10% ke $41 setong (WTI) pada Jumaat lepas, pagi ini ia jatuh lagi 31% ke $28 setong!

Penanda aras minyak mentah dunia Brent-oil
ditutup di sekitar US$45.27 setong pada minggu lalu berbanding US$58 setong
pada bulan Februari.
Manakala West Texas Intermediate (WTI) didagangkan di
sekitar US$46 setong pada minggu lalu berbanding US$52 setong pada bulan lalu.

Situasi Covid-19 yang semakin menular
sejak bulan Januari telah menyebabkan permintaan minyak mentah terutamanya dari
China merosot dengan ketara.
Permintaan di beberapa negara lain juga diunjurkan merosot
di masa akan datang.

Harga minyak mentah kini telah merekodkan penurunan
sebanyak 30% sejak permulaan Januari berikutan kebimbangan impak Covid-19
terhadap permintaan dunia.

Perlanjutan pemotongan bekalan yang dicadangkan OPEC
bertujuan untuk mengimbangi permintaan dan penawaran minyak mentah dunia untuk
mengekalkan harga komoditi hitam itu di tahap yang optimum.

Rusia Enggan Menyertai Pakatan Baru Selepas 31 Mac

Wakil-wakil OPEC dan OPEC+ (Negara bukan ahli OPEC) telah
bermesyuarat pada 5 dan 6 Mac di Vienna bagi membincangkan sama ada meneruskan
pemotongan bekalan 2.1 juta tong sehari yang akan berakhir pada 31 Mac.

Walaubagaimanapun, fokus mesyuarat tersebut telah
berubah untuk menambah jumlah pemotongan bekalan sedia kala dengan jangkitan
Covid-19 yang semakin merebak telah menyebabkan kejatuhan harga komoditi hitam
dengan mendadak.

Dalam perkembangan terbaru pada Jumaat (6 Mac 2020), Rusia dilaporkan tidak akan menyertai OPEC untuk tambahan pemotongan bekalan kali ini sekaligus menghumban harga minyak mentah ke paras lebih rendah. Namun, negara itu akan terus menyokong jumlah pemotongan asal.

OPEC pada Jumaat mencadangkan pemotongan sebanyak 1.5
juta tong sehari sehingga penghujung Disember tahun ini di mana negara bukan
ahli OPEC dijangka menyumbang 500,000 tong pemotongan. Namun, Rusia masih belum
bersetuju dan hal ini dikhuatiri membawa risiko kepada terkuburnya pakatan
kerjasama mereka bersama OPEC sejak tahun 2016.

Sejak bekerjasama dengan OPEC pada tahun 2016, pasaran tertanya-tanya sebab Rusia tidak menyokong dan menyertai OPEC dalam program kali ini. Mungkin Rusia sudah tidak lagi dapat berkompromi dengan sebarang tambahan pemotongan yang mana pada akhirnya pihak yang mendapat keuntungan adalah pengeluar Amerika Syarikat.

Sejak pemotongan bekalan yang dibuat pada tahun 2016, pengeluar dari AS tidak pernah menyertai pakatan bersama OPEC kecuali negara-negara seperti Rusia dan Kazakhstan.

Sejak 2016, Rusia telah bersetuju sebanyak tiga kali untuk memotong pengeluaran minyak mentah bersama peneraju utama OPEC, Arab Saudi. Kumpulan negara bukan ahli OPEC terdiri daripada lebih 20 buah negara berjaya mengurangkan satu juta tong bekalan minyak mentah sehari selama lebih daripada tiga tahun.

Dalam tempoh itu juga, pengeluar Amerika Syarikat menjadi pengeluar terbesar dunia dengan jumlah tertinggi direkodkan adalah 13.1 juta tong sehari pada minggu lepas.

Permintaan Dunia Semakin Merosot

IHS Markit sebuah syarikat penyedia
data maklumat berpangkalan di London mengunjurkan penurunan permintaan minyak
mentah dunia pada suku pertama tahun 2020 sebanyak 3.8 juta tong sehari
berbanding tahun 2019.
Kemerosotan tertinggi yang pernah dicatat sebelum ini adalah
semasa krisis kewangan dunia pada tahun 2009 di mana permintaan pada suku
pertama tahun tersebut merosot 3.6 juta tong sehari berbanding tahun
sebelumnya.

Jim Burkhard ketua pasaran minyak mentah IHS Markit
berkata, β€œIni adalah kejutan permintaan yang berlaku secara tiba-tiba dan
skala penurunan yang berlaku masih tidak dapat dipastikan.”

Kebanyakan penurunan permintaan
adalah daripada China, tetapi permintaan di negara-negara lain termasuk,
Eropah, Jepun, Korea Selatan, Timur Tengah dan Utara Amerika turut diramalkan
merosot.

Kes Covid-19 di luar China terus meningkat yang menunjukkan impak negatif
terhadap permintaan akan berterusan pada suku kedua tahun 2020.

China merekodkan penurunan mendadak dalam data
perjalanan rakyat di negara itu berikutan halangan oleh kerajaan China dan juga
pembatalan penerbangan di dalam dan keluar negara. Data menunjukkan
perjalanan komersil melalui darat, air dan udara jatuh sebanyak 80% pada
Februari berbanding tempoh sama tahun lepas.

Unjuran penurunan permintaan yang dibuat oleh IHS
Markit adalah satu berita kurang baik kepada OPEC yang bercadang untuk
melanjutkan pemotongan bekalan selepas penghujung bulan Mac. Tambahan
pemotongan bekalan sebanyak 1.5 juta tong sehari membawa jumlah kepada 3.6 juta
tong selepas bulan Mac masih lebih rendah daripada ujuran kemerosotan
permintaan sebanyak 3.8 juta tong sehari.

Ini bermakna, harga minyak tidak akan banyak
berubah kerana pemotongan oleh OPEC sejajar dengan pengurangan permintaan di
masa akan datang.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.



Source link