Artikel Terkini

“Harta Saya Tak Banyak, Jadi Tak Perlu Buat Perancangan Perwarisan..”


Rupanya masih ramai yang belum faham fungsi kita merancang harta. Kebanyakan daripada kita masih bersangka bahawa tiada keperluan merancang harta kerana harta yang ada pun tak banyak.

“Takpa la, nanti aku mati, pandai-pandailah waris ikut faraid agihkan harta pusaka.”

Kefahaman ini yang menjadi punca semakin banyak harta umat Islam di Malaysia terus terbeku dan tidak boleh dimanfaatkan oleh waris. Ini kerana Tiada Kesedaran Dan Kefahaman, Punca Aset RM70 Bilion Beku Dan Tidak Dituntut.

Saya bawakan satu contoh persoalan yang sering bermain dalam kebanyakan masyarakat kita.

Soalan

Harta saya tak banyak. Ada sebiji rumah ini saja. Dalam Tabung Haji dan akaun bank, ada la sikit duit.

Jadi perlu ke saya buat perancangan pewarisan harta; seperti wasiat dan hibah?

Rumah dan duit saya ni kalau saya meninggal dunia nanti memang akan dapat ke isteri dan anak-anak kan?

Jawapan

Apabila diajukan soalan sebegini, saya sering minta si penanya untuk menyenaraikan secara ringkas harta-harta yang dimiliki. Ini kerana, banyak atau sikit harta itu, nilainya adalah relatif.

Pernah sekali, saya dihubungi oleh seorang pemuda 30-an, mahu membuat perancangan perwarisan. Apabila ditanya mengenai hartanya, beliau jawab sikit saja.

Bila saya minta beliau senaraikan, baru saya faham sikit bagi beliau tu boleh jadi sangat banyak bagi orang lain.

Ada tiga buah rumah, 4 tanah lot di kampung, duit tunai dalam Tabung Haji, ASB dan beberapa akaun bank lain.

Jadi sekali lagi, sikit atau banyak ianya adalah relatif.

Berbalik kepada persoalan adakah perlu perancangan perwarisan sekiranya harta kita tidak banyak, ada dua perkara yang perlu difahami dan diperhatikan.

1. Isu Pentadbiran

Harta sikit atau banyak, pusaka yang hendak dicairkan dan diagihkan kepada waris memerlukan surat kuasa yang waris perlu mohon sama ada di Pejabat Pusaka Kecil, Mahkamah Tinggi Sivil atau Amanah Raya.

Ini kerana selepas kita meninggal dunia, semua harta yang kita miliki semasa hidup akan terbeku dahulu sebelum proses pencairan berlaku.

Proses pencairan aset bermula dengan permohonan tuntutan pusaka oleh salah seorang daripada waris si mati di salah satu daripada tiga tempat yang telah dinyatakan.

Masalah timbul apabila waris-waris si mati tidak bersepakat dalam melantik wakil yang akan membuat tuntutan.

Ada dua punca kenapa waris tidak sepakat dalam hal ini;

  1. Harta si mati terlalu banyak, sehingga semua waris berebut-rebut ingin menjadi wakil untuk membuat tuntutan seterusnya menjadi pentadbir harta si mati dengan harapan, dia mendapat bahagian lebih daripada waris lain.
  2. Harta si mati sedikit atau tiada pusaka yang berbentuk wang tunai yang ditinggalkan, menyebabkan tiada waris yang ingin membuat tuntutan kerana tidak mahu mengeluarkan duit sendiri untuk urusan tuntutan.

Oleh yang demikian penting untuk memastikan kita yang masih hidup ini melantik pentadbir bagi menguruskan harta pusaka kita nanti.

Jika tidak proses tuntutan akan lebih rumit.

Dan seperti mana yang telah dinyatakan, terdapat kos-kos pentadbiran pusaka yang perlu di ambil kira.

Bukan percuma.

Kebanyakkan kes, waris terbeban dengan kos tersebut sehingga gagal membuat proses pentadbiran.

Itu yang menyebabkan betapa banyak kes urus pusaka yang terbengkalai bertahun-tahun.

Oleh itu penting juga kita memastikan kita ada menyediakan tunai pantas untuk memudahkan waris mentadbir harta pusaka kita nanti.

2. Isu Pembahagian

Ramai hanya pesan mulut nak beri harta pada anak-anak dan isteri.

Pesanan in juga dikenali sebagai wasiat.

Namun tahukah anda pesanan ini boleh terbatal apabila waris faraid lain tidak bersetuju?

Lebih membimbangkan jika struktur waris faraid kita kritikal seperti tidak mempunyai anak dan bapa.

Mereka ada hak dan boleh menuntut bahagian mereka. (Walaupun hakikatnya mereka perlu bertanggungjawab juga ke atas keluarga si mati).

Sebab itu, jika anda ada niat tertentu, nak berikan sekian-sekian harta kepada waris atau sesiapa sahaja, pastikan dokumen perwarisan yang anda sediakan itu lengkap dan mengikut spesifikasi perundangan.

Kesimpulannya, sikit atau banyak harta kita, setiap orang perlu membuat perancangan pewarisan harta kerana, ada dua isu perlu di selesaikan iaitu isu pentadbiran dan isu pembahagian.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka. Beliau mengendalikan laman web fakhrurradzi.com. Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi beliau di sini.

Baca juga:



Source link