Artikel Terkini

Hibah Amanah ASB Memudahkan Proses Tuntutan Waris Selepas Kita Meninggal Dunia


Secara umum, majoriti masyarakat Muslim di Malaysia mengambil pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan hukum harus melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) sejak tahun 2008.

Perkara ini secara tidak langsung telah membantu sebahagian besar umat Islam di Malaysia untuk membuat pelaburan secara pasif, kerana masih ramai yang tidak mampu untuk membuat pelaburan secara aktif di Bursa Malaysia sebagai contoh.

Ini merupakan satu perkembangan yang positif kalau dilihat daripada sudut pengukuhan pegangan ekonomi umat Islam di Malaysia, yang juga merupakan salah satu tujuan pengharusan melabur dalam ASB seperti yang dinyatakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Walaubagaimanapun, perlu diingat bahawa akaun pelaburan ASB tetap tertakluk di bawah Akta Pentadbiran dan Probet 1959, di mana apabila pemilik akaun meninggal dunia; akaun pelaburan tersebut akan dibekukan.

Jadi waris yang nak menuntut pengeluaran wang daripada unit amanah ASB si mati, mesti mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet terlebih dahulu.

Penyelesaian Perwarisan Akaun Pelaburan ASB

Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang
menguruskan dana-dana ASB telah menyediakan sebuah perkhidmatan pengurusan
harta yang dipanggil hibah amanah. Maknanya, pemilik akaun ASB boleh
menghibahkan unit amanahnya kepada waris yang dikehendakinya.

Unit amanah ASNB yang dihibahkan akan
dipindahmilik kepada Penerima selepas kematian Pemegang Unit (Pemberi).

Perancangan harta unit amanah ASB ini akan
memudahkan waris kita membuat urusan harta pusaka kita. Jika kita menghibahkan
unit amanah sebelum kita meninggal dunia, proses tuntutan yang waris perlu buat
akan jadi lebih cepat dan mudah.

Boleh rujuk perbandingan di bawah.

Dengan yuran pendaftaran hibah yang rendah, pemilik unit amanah boleh merancang hartanya yang berbentuk unit amanah di dalam ASB. Ada banyak kelebihan apabila kita menghibahkan terus unit amanah ini kepada waris kita.

Kelebihan Hibah Unit Amanah ASB

  1. Kita sebagai pemilik unit amanah, berhak menentukan siapa penerima unit amanah yang kita ingin hibahkan dan peratus pembahagian. Kita boleh letak sehingga 10 individu sebagai penerima unit amanah kita. Dengan syarat kita mempunyai unit pelaburan minimum 1,000 unit.
  2. Penerima unit amanah adalah penerima mutlak. Mereka bukan pentadbir harta yang perlu menguruskan unit amanah tersebut dan membahagikannya kepada waris-waris yang berhak dalam hukum faraid.
  3. Penerima (waris) yang nak menguruskan dan menuntut unit amanah ASB tidak perlu bersusah payah mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet.
  4. Urusan proses tuntutan unit amanah akan jadi lebih cepat, hanya mengambil masa 21 hari sahaja. Jika dibandingkan dengan pemilik unit amanah yang tidak merancang hartanya mungkin akan mengambil masa sehingga 3 tahun atau lebih.

Dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak
PNB ini, seharusnya kita sebagai pelabur memanfaatkannya sebaik mungkin. Dengan
kadar yuran pendaftaran yang sangat rendah iaitu RM180, rasanya tiada
alasan untuk kita menghibahkan unit amanah kita.

Yuran Perkhidmatan

Bagi mereka yang melabur melalui skim pembiayaan atau pinjaman ASB, tidak dibenarkan untuk menggunakan perkhidmatan hibah amanah ini melainkan jika ianya sudah habis dilangsaikan.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka. Selain aktif menulis perkongsian mengenai urus pusaka di Facebook, beliau kadangkala menerima jemputan untuk memberikan ceramah umum..



Source link