Artikel Terkini

Idris Jusoh dilantik Pengerusi FELDA



KUALA LUMPUR : Datuk Seri Idris Jusoh dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Pengerusi Lembaga Pengarah FELDA yang berkuatkuasa pada 1 Mei lalu.

FELDA dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, Idris mengambil alih tugas Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang meletak jawatan sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah FELDA.

Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar, yakin pengalaman dan kepimpinan Idris berupaya menerus serta mempercepatkan usaha pemulihan agensi terbabit.

“Kami yakin dengan pengalaman dan kepimpinan beliau, usaha pemulihan FELDA akan diteruskan dan dipercepatkan.

“Kami juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Mohd Bakke di atas segala usaha dan sumbangan beliau semasa menyandang jawatan Pengerusi.

“Beliau amat komited dalam membawa pelbagai pembaharuan dan strategi pemulihan terutamanya dalam menjayakan pelan transformasi menerusi inisiatif Kertas Putih FELDA,” katanya.

Untuk rekod, Idris merupakan ahli Parlimen Besut yang sebelum ini menyandang  jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi dari Julai 2015 hingga Mei 2018 dan Menteri Pendidikan II (gabungan Menteri Pelajaran & Pengajian Tinggi) dari 16 Mei 2013.

Antara jawatan lain yang pernah disandang beliau termasuk sebagai Menteri Besar Terengganu (2004-2008), Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Timbalan Menteri Usahawan (1995-1999) dan ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Beliau berkelulusan Ijazah Sains Sosial (ijazah kelas pertama) dari Universiti Sains Malaysia (1980) dan Ijazah Sarjana MBA dari University of New Haven, USA (1988). Beliau juga mempunyai kelulusan Bahasa Arab dari Universiti Jordan (1993-1994) dan kelulusan Pengurusan Lanjutan dari Universiti Harvard, USA (2001) dan INSEAD Perancis (2008).





Source link

Related Posts