Artikel Terkini

Ihantaq Fresh sasar popularkan perkhidmatan penghantaran bahan basah di Malaysia


YAN: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula pada Mac lalu memberi rahmat kepada sekumpulan pemuda apabila ia menjadi lubuk rezeki buat syarikat perkhidmatan penghantaran bahan basah, Ihantaq Fresh.

Syarikat yang berpangkalan di Kampung Sungai Lentang, Yan ini kini mahu meletakkan sasaran lebih besar untuk lebih dikenali seperti syarikat-syarikat besar yang lain khususnya dalam sektor perkhidmatan penghantaran.

Menurut pengasas, Raden Mohd Asyraf Raden Anwar Alemsah, 28, idea memperkenalkan perniagaan berasaskan penghantaran bahan mentah yang telah siap disiang ini diinspirasikan daripada “trend” pembelian bahan basah secara dalam talian di luar negara seperti Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah yang lain.

Tambahnya, penubuhan Ihantaq Fresh juga pada asasnya disasarkan untuk membantu komuniti sekitar daerah Yan terutama golongan muda yang sukar mendapat peluang pekerjaan untuk mempunyai kerja tetap.

“Kami bermula seramai lima orang pekerja bersama saya dan pengasas, Sukri Ismail sekarang kita sudah berkembang kepada bilangan kerja 25 orang.

“Untuk pengambilan pekerja, kita dapat buka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat, kita fokus kepada orang kampung sekitar ini untuk jadi pekerja di banyak bahagian dalam bisnes, ” menurut Raden Mohd Asyraf ketika ditemui Astro AWANI di sini.

Ihantaq Fresh mahu meletakkan sasaran lebih besar untuk lebih dikenali seperti syarikat-syarikat besar yang lain. - Foto Astro AWANI

Dalam pada itu, bagi pekerja sambilan, Faris Abidin Che Pa, 29, dia mengambil keputusan untuk bekerja di Ihantaq Fresh berikutan keadaan semasa yang memaksanya ‘berehat’ daripada menjalankan tugas sebagai pemandu bas sekolah.

Jelasnya, hasil pendapatan melalui khidmat penghantaran bahan basah ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan dari hasil gaji sebagai pemandu bas sekolah yang terjejas sekitar 80 hingga 90 peratus.

“Kami pemandu bas bukan kutip bas sekolah harian tapi kita yang bawa budak pergi melancong, apabila berlakunya pandemik COVID-19, pendapatan kami sangat terjejas boleh dikatakan dari bulan Mac sampai sekarang bas sekolah langsung tidak bergerak.

“Ia menyebabkan pendapatan kami hilang sebanyak 80-90 peratus, rentetan itu saya mengambil keputusan untuk sertai Ihantaq Fresh bagi menampung kekurangan untuk saya sara isteri dan anak anak dan ahli keluarga lain,” kata Faris.

Lokasi penghantaran Ihantaq Fresh kini meliputi 4 daerah di Kedah iaitu Sungai Petani, Alor Setar, Yan, Kulim, selain Permatang Pauh, Bertam dan Bukit Mertajam bagi negeri Pulau Pinang. - Foto Astro AWANI

Seorang lagi pekerja, Nor Haswani Raden Anwar, 30, menjelaskan kerjaya yang dimiliki ketika ini sebagai pengurus pemasaran di Ihantaq Fresh sedikit sebanyak berlandaskan pengalaman yang dimiliki dalam bidang perniagaan atas talian.

Jelasnya, IHantaq Fresh juga dilihat sebagai platform terbaik dalam membantu anak muda sekitar Yan yang mahu berjinak-jinak dengan dunia pekerjaan bagi sektor perkhidmatan penghantaran bahan basah selain membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

“Tahun 2016 saya habis belajar, jadi 2017 baru jumpa dengan Ihantaq Fresh, sebelum ni banyak buat kerja sendiri ialah, online semua itu, selepas itu jumpa dengan IHantaq Fresh ini, kira sama macam online jugalah, biasa buat,” jelas Nor Haswani.

Lokasi penghantaran Ihantaq Fresh kini meliputi 4 daerah di Kedah iaitu Sungai Petani, Alor Setar, Yan, Kulim, selain Permatang Pauh, Bertam dan Bukit Mertajam bagi negeri Pulau Pinang.

Selain jualan bahan basah seperti ayam, daging, ikan dan makanan laut yang telah siap disiang, syarikat penghantaran terbabit turut menjual aneka pes masakan yang disesuaikan dengan selera orang utara.





Source link

Related Posts