Artikel Terkini

Ikan pekasam unik dari Kampung Chatel


KUALA KRAI: Kreativiti dalam mempelbagaikan sumber makanan penduduk luar bandar mampu diketengahkan sebagai tarikan pelancongan selain boleh dijadikan produk unik di pasaran.

Penduduk Kampung Chatel, Laloh, Kuala Krai misalnya menghasilkan ikan pekasam sungai dan jeram yang berbeza dengan pekasam tempat lain.

Ikan yang dihasilkan terdiri dari jenis ikan di kawasan air sejuk antaranya ikan kejor (tengas), kelah dan tilan.

Menurut pemilik kawasan peranginan Istana Sangkut, Ismail Abdul Manaf, 54 tahun, ikan pekasam Kampung Chatel adalah antara hasil perusahaan penduduk kampung tersebut.

“Ikan pekasam Chatel adalah produk keluaran sini yang mana mereka memancing di sungai pada musim hujan dan (musim) kelkatu.

“Ini satu produk yang boleh diketengahkan dan boleh dipasarkan. Ia berasal dari selatan Thai… resipinya dengan memasukkan nasi, garam asam keping dan sebagainya dan diperap selama 20 hari,” ujar Ismail.

Ikan pekasam Chatel ini boleh disimpan sehingga setahun dan ia mampu membuka selera dengan keenakan rasanya.

Tambahnya, terdapat juga permintaan dari pelancong luar negara untuk merasai ikan pekasam berkenaan.





Source link