Artikel Terkini

Impak kecil daripada Covid-19, sekatan import minyak sawit oleh India – SD Plantation



KUALA LUMPUR: Penularan COVID-19 di China dan sekatan India ke atas import minyak sawit memberi impak yang kecil kepada Sime Darby Plantation Bhd (SDP), tetapi syarikat menjangka harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat sederhana pada tahun ini, kata Pengarah Urusannya Mohamad Helmy Othman Basha.

“Bagi Sime Darby Plantation, kami tidak menjual minyak sawit yang banyak ke China pada mulanya…pasaran kita sebahagian besarnya di rantau ini dan India, tetapi kami mempunyai satu penghantaran (ke China) pada Januari, tetapi itu adalah penghantaran terakhir.

“Kami tidak menghadapi sebarang masalah dengan penghantaran itu tetapi ternyata selepas itu saya dimaklumkan kami kurang melihat permintaan dari China, yang saya percaya telah memberi tekanan kepada harga MSM,” katanya kepada pemberita pada pengumuman prestasi kewangan 2019 syarikat itu di sini pada Jumaat.

Mohamad Helmy berkata sehingga Januari 2020, harga MSM sebanyak RM2,700 satu tan tetapi kini ia merosot di bawah RM2,500 satu tan.

Menurut beliau, industri ini, sama ada di Malaysia atau Indonesia, dianggap bernasib baik berikutan pengeluaran MSM adalah rendah.

Pada Januari lepas, Lembaga Minyak Sawit Malaysia mengumumkan stok minyak sawit negara berjumlah 1.7 juta tan.

“Program B30 Indonesia turut mengurangkan impak ini (daripada permintaan yang rendah),” katanya, sambil menambah penularan virus itu telah memberi impak kepada seluruh industri.

Bagi India, katanya negara itu merupakan pasaran utama MSM dari Malaysia dan Indonesia.

“Bagaimanapun, apabila India memutuskan untuk tidak membeli dari Malaysia, dinamik berubah. India masih perlu menggunakan minyak sama ada MSM atau lain-lain, justeru jika mereka tidak membeli dari Malaysia, sumber lain yang hanya boleh didapati untuk mereka beli ialah dari Indonesia.

“Jika India kini mula membeli dari Indonesia, ini bermakna pelanggan sedia ada Indonesia akan mendapat kurang minyak berikutan daripada menghantar (minyak) ke negara lain, minyak dari Indonesia akan disalurkan ke India.

“Oleh itu, pelanggan lain perlu mendapatkan minyak dari negara lain dan ia adalah Malaysia. Begitulah caranya,” katanya.

Beliau berkata MSM Indonesia sentiasa diniagakan pada harga diskaun berbanding MSM Malaysia tetapi permintaan yang diterima Malaysia akan menaikkan harga, menyebabkan jurang yang lebih kecil antara kedua-dua harga.

Pada tahap tertentu, tiada diskaun antara harga MSM Malaysia dan Indonesia.

Bagi SDP, katanya, syarikat bertuah berikutan ia mempunyai operasi di kedua-dua negara.

Ditanya mengenai jangkaan harga MSM pada tahun ini, Mohamad Helmy berkata syarikat akan berasa selesa jika harga MSM diniagakan antara paras RM2,500 dan RM2,600 satu tan.

Syarikat perladangan itu pada Jumaat melaporkan prestasi kewangannya bagi tahun berakhir 31 Dis, 2019, mencatatkan keuntungan bersih belum diaudit sebanyak RM122 juta daripada operasi yang dijalankan berbanding RM729 juta dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Prestasi rendah pada tahun kewangan 2019 berikutan harga MSM dan isirung sawit yang rendah, serta pengeluaran tandan buah segar yang rendah.

Ini sebahagiannya diimbangi oleh kerugian bukan berulang, kos kewangan dan kredit cukai yang rendah yang dicatatkan pada tahun kewangan tersebut.

Operasi kumpulan itu yang dihentikan, terdiri daripada operasi di Liberia dan usaha sama dalam perniagaan oleokimia dan biomass, mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM322 juta sebahagian besarnya daripada susut nilai aset di Liberia.

Sehubungan itu, kumpulan tersebut mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM200 juta bagi tahun kewangan 2019 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM523 juta pada tahun sebelumnya.

— BERNAMA





Source link

Related Posts