Uncategorized

Industri halal paling mudah bagi PKS raih manfaat – Redzuan



KUALA LUMPUR: Industri halal global merupakan industri yang paling mudah bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meraih manfaatnya, kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof.

Beliau berkata industri itu mempunyai potensi yang besar dan kementeriannya sedang berusaha untuk menarik penggiat perniagaan halal hiliran ke Malaysia, termasuk pengeluar gelatin dan enzim halal.

“Pada masa ini kita kebanyakannya melakukan ujian produk di Malaysia, kita tidak menjalankan penyelidikan yang mencukupi atau mengkomersialkan penyelidikan kita.

“Oleh itu, daripada menyatakan satu minuman tertentu, misalnya, adalah ‘haram’, kenapa tidak kita mengeluarkan bahan kita sendiri dan memastikannya halal?,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan PKS anjuran Dewan Perniagaan British Malaysia dan Standard Chartered Bank Malaysia Bhd di sini pada Rabu.

Beliau berkata pasaran gelatin global mengeluarkan sebanyak 450,000 tan gelatin, dan hanya 10 peratus adalah halal.

“Oleh itu, jika anda dapat melabur untuk menghasilkan gelatin (halal) dan sesuai dengan pengeluaran makanan anda misalnya, anda dapat menarik banyak syarikat dari seluruh dunia.

“Sebagai negara dengan jumlah penduduk majoriti Islam, kami percaya terdapat potensi yang besar untuk Malaysia menceburi industri baharu ini dan logo halal Malaysia diiktiraf dan diterima baik dengan meluas,” kata Mohd Redzuan.

Pada persidangan itu, Standard Chartered dan Malaysian Global Innovation Creative Center menandatangani Memorandum Persefahaman untuk mewujudkan SEtia, program untuk memperkukuh kapasiti usahawan sosial tempatan. 

SEtia atau program Usahawan Sosial – Transformasi, Inovasi dan Pecutan merupakan inisiatif membina kapasiti untuk mengukuhkan pembangunan usahawan sosial melalui bimbingan perniagaan mengenai model perniagaan, pengurusan kewangan, strategi pemasaran yang inovatif, dasar kerajaan dan banyak lagi.

Standard Chartered akan menyumbang RM200,000 untuk program satu tahun bagi menyokong dan membangunkan 50 usahawan sosial.

— BERNAMA





Source link

Related Posts