Artikel Terkini

Inflasi: Dua Faktor Berlakunya Peningkatan Harga Di Dalam Ekonomi


Inflasi
secara mudahnya adalah satu kenaikan harga. Secara teori inflasi bermaksud
suatu kenaikan dalam tingkat harga umum barangan dan perkhidmatan dalam
sesebuah ekonomi. Dengan peningkatan
tingkat harga umum, wang yang ada pada kita hanya dapat membeli barangan dan
perkhidmatan dalam jumlah yang kurang daripada sebelumnya.

Oleh
itu, inflasi juga mencerminkan penurunan dalam kuasa beli wang iaitu satu
kehilangan nilai sebenar untuk membeli. Satu ukuran utama bagi inflasi adalah
perubahan peratusan tahunan di dalam sesuatu indeks harga umum iaitu Indeks
Harga Pengguna.

Kenaikan harga sering dikaitkan dengan perkara negatif kerana kuasa beli yang merosot seiring dengan kenaikan inflasi. Namun dari sudut lain, kepentingan inflasi dalam perkembangan dan pertumbuhan ekonomi tidak dapat disangkal. Rasionalnya, hanya dengan kenaikan harga dapat memberikan keuntungan kepada perniagaan.

Walaubagaimanapun,
inflasi yang tidak terkawal boleh menyebabkan kemelesetan ekonomi terhasil
daripada kurangnya permintaan dan kegagalan majoriti perniagaan di sesebuah
negara.

Kita
akan cuba rungkaikan dua faktor yang menyebabkan kenaikan harga iaitu inflasi
tarikan permintaan dan inflasi tolakan kos.

1. Inflasi Tarikan Permintaan (Demand-Pull Inflation)

Inflasi
tarikan permintaan berlaku disebabkan oleh permintaan melebihi bekalan barangan
atau perkhidmatan dalam jangka pendek.

Berdasarkan graf di bawah menunjukkan bagaimana harga berubah (Price level, PL) seiring dengan berlalunya waktu (Tahun, Y). Kita dapat lihat dalam rajah yang sama, pergerakan keluk permintaan agregat (Aggregate Demand, AD) pada keluk penawaran agregat jangka panjang (Long Run Agregate Supply, LRAS) menyebabkan kenaikan harga.

Antara contoh yang menyumbang kepada
inflasi tarikan permintaan adalah globalisasi, peningkatan perbelanjaan negara
dan rangsangan monetari oleh bank pusat.

Perkembangan ekonomi yang pesat di luar negara dan pasaran domestik merupakan di antara faktor yang memyumbang kepada permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan di sesebuah negara. Contohnya Malaysia, dengan status sebagai pengeluar utama minyak sawit dan juga produk semikonduktor, globalisasi memberi banyak faedah kepada peningkatan eksport sekaligus memacu ekonomi tetapi kadangkala diiringi dengan inflasi.

Sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka, inflasi dalam negeri juga telah dipengaruhi oleh perkembangan di luar negeri. Inflasi global menurun kepada paras terendah dalam sejarah pada fasa “penurunan besar”, iaitu inflasi global secara purata turun daripada 15.4% pada tempoh 1990-1999 kepada 3.9% pada tempoh 2000-2008.

Rangsangan fiskal melalui peningkatan
perbelanjaan kerajaan juga dapat memacu kenaikan inflasi contohnya melalui
belanjawan negara.

Rangsangan
monetari oleh bank pusat juga dapat meningkatkan tingkat harga dalam ekonomi
melalui peningkatan bekalan wang melalui penurunan kadar faedah asas dan juga
pembelian bon-bon kerajaan.

Pelonggaran dasar oleh bank pusat ini pada akhirnya akan meningkatkan jumlah permintaan. Namun, jika penawaran barangan dan perkhidmatan tidak meningkat seiring dengan peningkatan permintaan, maka inflasi akan terhasil.

2. Inflasi Tolakan Kos (Cost-Push Inflation)

Inflasi jenis ini terhasil apabila
harga keseluruhan meningkat disebabkan peningkatan kos operasi.

Kos
operasi boleh meningkat dengan peningkatan kadar gaji dan juga bahan mentah.
Peningkatan kos pengeluaran dapat mengurangkan penawaran produk atau
perkhidmatan di dalam sesebuah ekonomi. Dengan andaian permintaan tidak
berubah, peningkatan harga pembuatan akan dipindahkan kepada pengguna sekaligus
menyebabkan inflasi.

Antara faktor terhasilnya inflasi
tolakan kos adalah peningkatan harga sumber tenaga, kadar gaji minimum, kadar
cukai, harga barangan import dan juga penyusutan nilai matawang.

Jika
sesebuah syarikat itu banyak bergantung kepada penggunaan minyak petrol untuk
tujuan logistik, maka kenaikan harga minyak mentah global sudah tentu memberi
tekanan kepada syarikat untuk menaikkan harga. Peningkatan harga komoditi hitam
sekitar tahun 2007-2008 banyak memberi tekanan kepada harga barangan global
pada ketika itu.

Peningkatan
dalam kos buruh atau kadar gaji pekerja contohnya melalui dasar kerajaan
seperti gaji minimum juga meningkatkan kos pengeluaran syarikat secara
langsung.

Faktor
yang tidak dijangka seperti bencana alam termasuk banjir, gempa bumi, kebakaran
dan ribut taufan yang berlaku di zon perindustrian sudah tentu mengurangkan
bekalan di dalam ekonomi. Oleh itu, disebabkan permintaan yang kekal telah
melebihi daripada bekalan yang dapat dikeluarkan; harga terpaksa dinaikkan.

Dari sudut lain, syarikat tidak mempunyai pilihan lain, selain daripada menaikkan harga bagi membiayai kerugian yang ditanggung selepas berlakunya bencana.

Sumber Rujukan:

  1. http://www.bnm.gov.my/files/publication/ar/bm/2010/cp01_003_rencana.pdf
  2. http://www.ukm.my/fep/perkem/pdf/perkemVIII/PKEM2013_3B5.pdf
  3. https://www.investopedia.com/terms/c/costpushinflation.asp
  4. https://www.investopedia.com/terms/d/demandpullinflation.asp

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen





Source link