Uncategorized

Ini beberapa tip untuk memilih jenis seni mempertahankan diri



JIKA anda sedang memikirkan untuk mempelajari ilmu seni mempertahankan diri, anda telah membuat keputusan yang bijak.

Ilmu yang akan anda perolehi amat berguna dan hampir tiada batasnya.

Bagaimanapun, memilih satu seni bela diri itu boleh memeningkan.

Oleh itu, ini ada beberapa tip dari atlet negara dari ONE Championship, Saiful Merican untuk membantu anda dalam memilih jenis seni bela diri yang pertama untuk dipelajari.

#1 Catat matlamat anda

Tanya diri anda sendiri, kenapa anda mahu belajar seni mempertahankan diri?

Adakah untuk kecergasan? Atau hobi? Untuk cari kawan? Untuk masuk pertandingan? Atau anda tertarik dengan seninya? Atau memang untuk mempertahankan diri?

Kemudian, tuliskan matlamat anda itu pada buku catatan. Kita semua mempunyai matlamat yang berbeza. Jadi, jangan risau.

#2 Buat sedikit ‘research’

Memilih jenis seni bela diri memang agak sukar, dan boleh makan masa yang lama. Yang penting, jangan terlebih fikir.

Jika anda gemar seni bela diri yang banyak menggunakan tumbukan dan tendangan, Muay Thai dan karate atau taekwondo mungkin pilihan yang baik untuk anda.

Namun, jika anda lebih gemar seni yang menggunakan teknik gelutan dan cengkaman, anda boleh cuba Brazilian Jiu-jitsu, sambo, judo atau gusti.

Tetapi jika anda suka seni bela diri yang ada teknik serangan, jatuhan dan kuncian, cuba pelajari silat.

#3 Mencari tempat belajar

Terdapat banyak pusat yang mengajar seni mempertahankan diri di Malaysia, yang penting anda selesa dengan tempat tersebut.

Antara faktor yang perlu dipertimbangkan ialah lokasi, suasana, kebersihan, bajet, dan persekitaran pengajaran yang selamat.

Singgah dahulu tempat-tempat tersebut, dan perhatikan bagaimana kelas dijalankan termasuk persekitarannya.

Ingat, anda boleh katakan tidak jika mereka memaksa anda mendaftar dengan segera.

Jika anda masih tidak dapat membuat keputusan, minta untuk sertai kelas percubaan.

Kebiasaannya sekolah-sekolah tersebut akan mempunyai kelas percubaan. Ini boleh memberi manfaat kepada anda dalam jangka panjang.

#4 Semak kredibiliti pengajar

Kredibiliti bukanlah bermaksud mereka perlu ada ijazah sarjana dan sebagainya, tetapi mereka perlu menjadi guru yang sah untuk seni bela diri tersebut.

Setiap guru seni bela diri akan berkongsi perjalanan mereka dengan anda jika mereka seorang pengamal yang sah.

Ini termasuk di mana perjalanan mereka bermula, dengan siapa mereka belajar, dan pencapaian mereka.

Satu lagi ciri penting dimiliki seorang jurulatih ialah rasa hormat. Sekiranya jurulatih itu mempamerkan sikap hormat kepada pelajar dan rakan-rakannya, maka itu pun menggambarkan kredibilitinya.

Selamat menceburi alam seni bela diri!





Source link