Uncategorized

#InstagramBlackOut2019: Tolong jangan telefon polis! Gangguan Facebook, Instagram bukan masalah kami



YA, benar pengguna media sosial Facebook di seluruh dunia hari ini berdepan gangguan dan ia mengundang lebih kerisauan dalam kalangan netizen apabila masalah itu turut ‘berjangkit’ kepada aplikasi WhatsApp dan Instagram.

Gangguan dipercayai bermula awal pagi Khamis dan masih berlarutan sehingga sekarang. 

Akibat gangguan teknikal itu, rata-rata pengguna Facebook tidak boleh mengemaskini laman utama sementara yang lain hanya boleh melihat kemaskini rakan-rakan Facebook mereka namun tidak boleh memberikan tanda ‘suka’.

Manakala bagi pengguna WhatsApp pula mereka berdepan masalah untuk menghantar dan menerima mesej serta gambar.

Susulan itu, Facebook menerusi satu kenyataan di laman Twitter hari ini memaklumkan bahawa gangguan tersebut ekoran serangan siber terhadap sistem mereka.

Facebook kini dalam usaha untuk menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.

“Kami sedar sejumlah pengguna mengalami masalah untuk mengakses aplikasi Facebook. Kami bekerja keras untuk menangani masalah ini secepat mungkin,” demikian menurut Facebook.

Namun, di sebalik kegelisahan jutaan pemilik akaun Facebook berhubung gangguan tersebut, pihak polis wilayah Canterbury New Zealand mencuri tumpuan ramai apabila memuat naik ‘amaran’ yang disifatkan lucu, di laman Twitter mereka.

BACA: Facebook alami gangguan terbesar, Whatsapp, Instagram turut terkesan

Dalam entri berkenaan mereka memberi peringatan kepada orang awam agar tidak menghubungi polis susulan gangguan yang berlaku kepada Facebook.

“Kami tahu, Facebook dan Instagram tidak berfungsi. Malangnya, kami tidak boleh buat apa-apa berhubung masalah ini, kerana kamu tahu, mereka berpangkalan di Amerika Syarikat dan kami adalah polis. Jadi tolong jangan menghubungi kami,” demikian tulis pihak polis Canterbury.

Setakat artikel ini ditulis, kemaskini tersebut diulang siar oleh lebih 1,500 pengguna Twitter.

Selain itu, gangguan yang dialami Facebook turut memberi kesan kepada Parlimen New Zealand apabila mereka mengumumkan bahawa mesyuarat yang dijadualkan bersiaran secara langsung di platform tersebut terpaksa dibatalkan.

Jadi kepada pengguna Facebook di Malaysia, anda juga dinasihatkan supaya tidak menghubungi pihak polis. Mohon bersabar, okay! 





Source link