Artikel Terkini

iProperty.com.my Melancarkan Data Permintaan Hartanah Sewa Untuk Tatapan Umum Buat Pertama Kali Di Malaysia


iProperty.com.my, Laman Web Hartanah No. 1 di Malaysia, hari
ini buat pertama kalinya menerbitkan laporan H1 2020 Property Demand Analytics (Rental Market) yang memberi gambaran umum permintaan hartanah sewa berdasarkan data kunjungan dan penyenaraian hartanah kediaman di Malaysia dengan tumpuan khusus pada Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Analisis hartanah sewa yang pertama seumpamanya di Malaysia ini mengkaji tiga jenis hartanah iaitu rumah teres, kondominium dan kediaman servis.

Akibat penularan wabak COVID-19, secara keseluruhan permintaan hartanah sewa di seluruh negara bagi H1 2020 menurun sebanyak -5.6%. Namun peralihan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diiukuti Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah membolehkan keadaan ekonomi dan sosial pulih secara beransur-ansur bermula pertengahan Mei 2020. Pemerhatian ini disokong oleh pemulihan minat pengguna terhadap hartanah semasa fasa PKPB apabila kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan dan aktiviti melawat hartanah kembali sewa dibenarkan. Sebulan selepas PKPP bermula dan pada hujung minggu pertama Julai, ¹pemulihan sebanyak +25% dapat dilihat pada kunjungan hartanah sewa di iProperty.com.my. Pemulihan pasaran pada penghujung H1 2020 meringankan kesan buruk awal pandemik terhadap pasaran hartanah sewa dan membawa kepada penurunan permintaan keseluruhan hanya sebanyak – 5.6%.

Pada H1 2020, Hartanah bertingkat tinggi berharga lebih memperoleh hasil sewa yang lebih tinggi berbanding rumah teres. Kondominium dan kediaman servis masing-masing merekodkan hasil sewa sebanyak +4.17% dan +4.03% manakala rumah teres pula mencatatkan hasil sebanyak +3.43%. Sebaliknya, kondominium merupakan jenis hartanah yang paling popular dalam kalangan penyewa di empat ibu negeri utama iaitu di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Situasi tidak menentu ekoran penularan COVID-19 membuatkan ramai pencari hartanah mempertimbangkan untuk menyewa dan bukannya membeli rumah. Kemungkinan ini menjadi punca kenaikan angka kunjungan dan penyenaraian hartanah sewa bagi Kuala Lumpur berbanding separuh pertama 2019 (H1 2019) dan membawa kepada penurunan permintaan hartanah yang lebih sederhana iaitu sebanyak -2.9% bagi ibu negara ini. Pencari hartanah sewa amat berminat dengan hartanah yang menawarkan sewa antara RM1,500 ke RM2,000 sebulan. Di Kuala Lumpur, antara kawasan yang merekodkan hasil sewa terbaik pada H1 2020 adalah Pantai, Brickfields, Taman Tun Dr Ismail dan Wangsa Maju.

Angka permintaan hartanah sewa bagi Selangor turut mengalami penurunan yang sedikit iaitu -1.2%. Ini berpunca daripada kadar kenaikan angka penyenaraian yang lebih tinggi berbanding kenaikan angka kunjungan. Bagi H1 2020, Ulu Kelang merupakan kawasan paling pesat membangun dari segi permintaan sewa dengan pertumbuhan permintaan +44.21% tahun atas tahun (YoY). Sebilangan besar pencari hartanah sewa di Selangor berminat dengan kondominium yang menawarkan harga sewa sebanyak RM2,000 sebulan dan ke bawah. Permintaan hartanah sewa di Selangor telah beralih ke kawasan pinggir bandar seperti Ulu Kelang, Bangi, Klang, Rawang dan Semenyih disebabkan harga yang lebih berpatutan. Di dalam kawasan ini, pencari hartanah kebanyakannya mencari kediaman bertingkat tinggi dengan harga jualan yang lebih rendah.

Walaupun angka kunjungan dan penyenaraian di Pulau Pinang mengalami pertumbuhan pada H1 2020, permintaan keseluruhan pasaran hartanah sewa di negeri utara tanah air tersebut menurun sebanyak -13.7% disebabkan angka penyenaraian yang lebih tinggi berbanding angka kunjungan. Di samping itu, PKP telah menyumbang kepada penurunan permintaan hartanah sewa apabila penutupan sempadan negeri dan antarabangsa menjejaskan pasaran penginapan jangka pendek di Pulau Pinang. Bukit Mertajam dan Ayer Itam merupakan pilihan penyewaan yang popular dalam kalangan pencari hartanah sewa yang berminat dengan sewa di bawah RM1,000 sebulan. Di Bukit Mertajam, pencari hartanah sewa berminat dengan rumah teres dan kondominium manakala di Ayer
Itam pula ramai yang mencari apartmen dan kondominium.

Permintaan hartanah sewa Johor jatuh sebanyak -19.5% pada H1 2020 disebabkan angka penyenaraian yang lebih besar berbanding angka kunjungan pengguna. Walau bagaimanapun, median harga sewa di Johor iaitu RM1,400 sebulan masih lebih rendah berbanding negeri utama lain. Iskandar Puteri merekodkan pertumbuhan permintaan YoY paling pesat iaitu +35% disebabkan penyenaraian hartanah sewanya yang berkurang menjadi separuh, terutamanya bagi segmen kondominium. Ramai pencari hartanah sewa berminat dengan harga sewa di bawah RM2,500 sebulan di Iskandar Puteri. Kawasan di Johor dengan permintaan paling tinggi iaitu Pasir Gudang yang juga merekodkan hasil sewa paling tinggi di negeri tersebut dengan rumah teres muncul sebagai pilihan paling popular. Bandar perindustrian ini merekodkan hasil sewa hampir +7% manakala harga sewa mediannya adalah RM1,200 sebulan.

“Disebabkan bencana yang menimpa ekoran penularan COVID-19, ramai rakyat Malaysia kini lebih cenderung menyewa berbanding membeli. Kami berpendapat ini merupakan masa yang tepat untuk melihat data mengenai permintaan hartanah sewa bagi menilai minat pengguna yang mula beralih kepada pilihan perumahan yang lebih murah dan fleksibel. Data masa nyata bagi hartanah sewa mungkin sukar diperoleh bagi pelabur hartanah, tuan rumah dan pakar industri memandangkan buat masa ini belum ada pangkalan data sewa di Malaysia. Data sewa mustahak bagi semua pihak
berkepentingan. Tuan rumah memerlukannya untuk meletakkan harga sewa yang sesuai supaya boleh bersaing manakala penyewa boleh memanfaatkan data seperti ini bagi memilih tempat tinggal terbaik mengikut keperluan masing-masing. Oleh kerana kemampuan beli masih merupakan satu isu di pasaran perumahan sekarang, hartanah sewa menawarkan penyelesaian sementara bagi keperluan perumahan. Dengan adanya data permintaan hartanah sewa, pihak berkepentingan boleh membuat keputusan yang berpandukan fakta,” kata Premendran Pathmanathan, Pengurus Besar Penyelesaian Data Pengguna REA Group Asia (iProperty.com.my).

Tambah beliau lagi, “Sebagai Laman Web Hartanah No. 1 Malaysia, iProperty.com.my telah menghabiskan berbulan-bulan membuat kajian dan perancangan serta memungut maklumat bagi menghasilkan analisis permintaan hartanah sewa yang eksklusif ini. Analisis seperti ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia. Harapan kami semoga ia menyumbang kepada pemahaman lebih baik mengenai pasaran hartanah sewa, seterusnya menguntungkan semua pihak.”

NOTA KAKI:
¹Pertumbuhan 25% ini hampir setara dengan purata 52 minggu sebelum PKP. Ini membolehkan iProperty.com.my menganalisis pemulihan kami menggunakan tanda aras setahun sebelum PKP.

Mengenai REA Group & iProperty.com.my

REA Group di Asia mengendalikan laman web, pemasaran dan acara harta tanah digital yang menawarkan set perkhidmatan hartanah dan pemasaran projek paling komprehensif di Asia Tenggara termasuk di Malaysia (iProperty.com.my), Thailand (thinkofliving.com dan Prakard) serta seluruh wilayah China termasuk Tanah Besar China (myfun.com) dan Hong Kong (squarefoot.com.hk dan SMARTExpo).

Berpangkalan di Australia, REA Group merupakan sebuah firma pengiklanan digital multinasional yang mengkhusus kepada hartanah. Disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX:REA), kami mengendalikan
laman web hartanah kediaman, komersil dan saham terkemuka di Australia iaitu realestate.com.au, realcommercial.com.au dan flatmates.com.au. REA Group juga merupakan rakan kongsi utama 99 Group yang mengendalikan perniagaan 99.co dan iProperty.com.sg di Singapura serta rumah123.com di Indonesia. REA Group juga memiliki pegangan saham besar dalam Move, Inc menerusi realtor.com di Amerika Utara dan Elara Technologies menerusi proptiger.com, maakan.com dan housing.com di India.

iProperty.com.my berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia dengan bilangan pekerjanya melebihi 200 orang. Dengan lebih 3 juta lawatan setiap bulan, iProperty.com.my merupakan portal hartanah pendahulu pasaran yang menawarkan carian dalam dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. iProperty.com.my juga menawarkan aplikasi penyelesaian kepada konsumer seperti LoanCare, penunjuk kelayakan pinjaman perumahan; saluran News & Lifestyle dengan pelbagai kandungan berkaitan hartanah yang bermanfaat kepada pengguna; acara-acara yang menghubungkan pembeli hartanah dengan ejen dan pemaju; dan banyak lagi.

Iklan


Iklan



Source link