Artikel Terkini

Jangan panik! Ini beberapa langkah mengekang jangkitan koronavirus



DUNIA digemparkan dengan jangkitan koronavirus yang kini dilaporkan sudah menyebabkan 25 kematian di China dengan lebih 830 kes jangkitan direkodkan setakat ini.

Lebih-lebih lagi apabila seorang warga China di negara jiran paling dekat, Singapura disahkan positif dijangkiti virus itu.

Beberapa kes juga direkodkan di negara Asia seperti Jepun, Thailand, Vietnam, Korea Selatan. Satu kes terbaharu juga direkodkan di Amerika Syarikat.

Pastinya, rakyat negara ini panik dan sudah mula mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tidak dijangkiti virus seumpamanya.

BACA: Ini lima perkara yang anda perlu tahu mengenai koronavirus

Ini apa yang anda boleh lakukan bagi memastikan kesihatan diri sendiri serta orang tersayang terjaga.

1. Jangan panik

Orang ramai dinasihatkan untuk kekal tenang.

Memetik laporan Chanel News Asia, Pakar Penyakit Berjangkit, Profesor Madya, Hsu Li Yang, menjelaskan koronavirus itu tidak merebak dengan cepat di Singapura.

Justeru, katanya orang ramai disarankan untuk tidak panik dan tidak bertindak di luar jangkaan.

Orang ramai juga dinasihatkan agar menggunakan topeng muka jika dalam keadaan tidak sihat, basuh tangan dengan cara yang betul dan menunda tarikh melancong ke daerah dan negara yang merupakan pusat krisis virus ini.

BACA: Singapura sahkan kes pertama virus Wuhan

BACA: Lapan warga China di Johor Bahru bebas koronavirus – Jabatan Kesihatan Negeri

2. Pakai topeng pembedahan

Pakar Penyakit Berjangkit, Dr Leong Hoe Nam mengingatkan orang ramai agar menggunakan topeng pembedahan berbanding topeng jenis N95.

Ini kerana jelasnya, topeng pembedahan dapat mengekang penularan kepada diri sendiri dan kepada orang lain.

Pada masa sama, topeng pembedahan tersebut perlulah bersesuaian dengan saiz muka masing-masing.

“Topeng tersebut perlu menutup bahagian hidung, mulut sehinggalah ke bahagian dagu. Topeng tersebut boleh digunakan sehingga basah, tetapi selepas basah ia perlu digantikan dengan yang baru,” ujarnya.

Pada masa sama, Dr Leong turut menjelaskan memakai topeng jenis N95 berkemungkinan menyebabkan ketidakselesaan.

Ini kerana, orang ramai mungkin akan menyentuh muka mereka apabila merasa tidak selesa sekali gus menyebabkan penyebaran virus.

3. Basuh tangan dengan cara yang betul

Penggunaan sabun anti-bakteria dan sabun berasaskan alkohol amat disarankan.

Demikian tegas Ketua Penjagaan Kesihatan dari Healthway Medical, Dr John Cheng yang turut menasihatkan agar orang ramai mencuci tangan mereka selepas menggunakan atau menyentuh sesuatu barangan yang turut disentuh orang ramai.

Membasuh tangan dengan cara yang betul adalah dengan melakukan lapan langkah dan mencuci selama 30 saat dengan sabun yang betul.

BACA: Koronavirus: Terlalu awal untuk isytihar kecemasan kesihatan global – WHO

4. Mendapatkan vaksin

Walaupun masih tiada vaksin bagi koronavirus, Dr Leong menyarankan agar pengambilan vaksin influenza dilakukan bagi mengelakkan daripada apa-apa jangkitan.

Langkah ini pada masa sama akan mengurangkan bebanan buat pusat kesihatan untuk membendung jangkitan seumpanya.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengambil suntikan vaksin berdasarkan keperluan kesihatan masing-masing.

Ia termasuk vaksin hepatitis A & B, typhoid, penumonia dan sebagainya.

BACA: Koronavirus: Indonesia perketat pemeriksaan kesihatan di lapangan terbang





Source link