Uncategorized

Jangan sekadar beri kucing makan, mandulkan juga


SHAH ALAM: Ihsan dan simpati masyarakat terhadap haiwan jalanan, khususnya kucing semakin baik sejak kebelakangan ini, namun kesedaran terhadap keperluan pemandulan dan vaksinasi masih perlu diperbaiki.

Ramai daripada kita yang tidak kisah memberi makanan kepada kucing-kucing jalanan, tetapi sedarkah kita ia menyumbang kepada pembiakan tidak terkawal haiwan ini di jalanan?

Itu merupakan fokus penganjuran acara Kucing Angkat anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam, dengan kerjasama The Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA), yang berlangsung pada 4 Ogos lalu.

Antara kucing yang menanti untuk 'adoption'.

Sudah beberapa kali dianjurkan, program ini bukan sekadar mempromosikan slogan ‘adopt, don’t shop’, tetapi juga mendidik masyarakat untuk menyedari betapa pentingnya memandulkan dan memberi vaksin kepada si comel.

“Kami nak ingatkan kepada orang ramai yang suka bagi makanan kepada kucing, tak salah bagi makan tapi sekurang-kurangnya kena mandulkan kucing-kucing itu. Sebab itu dalam program hari ini, kami jemput juga veterinar dan SPCA untuk beri maklumat kepada orang ramai.

“Vaksinasi itu penting jika anda bela kucing tapi jika anda hanya memberi makan, kami harap anda akan mandulkan sebab kami mahu elakkan pembiakan yang tidak diperlukan,” kata Pegawai Kesihatan Persekitaran MBSA, Nurhidayah Abdul Razak.

Orang ramai bermesra dengan kucing-kucing sebelum membawanya pulang.

Orang ramai yang mahu mendapatkan diskaun harga bagi pemandulan dan vaksin boleh menghubungi SPCA untuk mendapatkan senarai klinik haiwan di Selangor yang menawarkan harga lebih murah berbanding biasa.

Turut ditekankan adalah kepentingan menjaga kebersihan, baik bagi pemilik, mahupun mereka yang hanya memberi makan kucing jalanan.

“Penting jaga kebersihan, jadi pemilik atau feeder perlu ambil berat hal kebersihan. Ada orang tak kisah kucing berkeliaran di kawasan rumah tetapi bila kucing itu berak merata-rata, itu yang jadi masalah.

“Kadang-kadang sampai bergaduh dengan jiran pasal kucing. Perkara ini takkan berlaku kalau pemilik atau feeder lebih prihatin,” tambah Nurhidayah.

Pendapat bahawa pemandulan menyeksa haiwan juga sebenarnya tidak boleh diguna pakai kerana ia terbukti memberi manfaat dari segi fizikal dan psikologi kucing.

“Kucing yang dimandulkan akan lebih behave, tidak ‘memancut’ dan lebih manja. Dari segi fizikal, bulu kucing akan lebih lebat dan sihat,” kata wakil Tawakkal Veterinary, Nazri Karim.

Kesemua kucing yang diletakkan di bawah Program Kucing Angkat ini sudah dimandulkan dan diberi vaksin, dan bakal pemilik hanya perlu membayar RM30 untuk membawa si comel ini pulang.





Source link