Uncategorized

Janji Kerajaan Pakatan Harapan Telah Dipenuhi Sebanyak 39.01 Peratus Dalam Masa Setahun

Janji Kerajaan Pakatan Harapan Telah Dipenuhi Sebanyak 39.01 Peratus Dalam Masa Setahun 1


Janji Kerajaan Pakatan Harapan Telah Dipenuhi Sebanyak 39.01 Peratus Dalam Masa Setahun 2

Kredit Gambar: FB Dr. Mahathir bin Mohamad

PUTRAJAYA, 9 Mei (Bernama) — Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menunaikan hampir 40 peratus janji-janjinya dalam tempoh setahun mengambil alih tampuk pemerintahan negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata prestasi pencapaian Janji Kerajaan bagi tempoh 10 Mei 2018 sehingga 30 April 2019 seperti yang terkandung dalam buku “Membina Negara dan Memenuhi Harapan” adalah sebanyak 39.01 peratus.

“Kita ada empat tahun lagi untuk memastikan semua janji-janji tersebut dapat dilaksanakan dan kita yakin kesemuanya akan tercapai sebelum mandat pemerintahan kita berakhir,” kata Dr Mahathir dalam perutusan perdana sempena satu tahun kerajaan PH, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Prestasi ini diukur melalui status kemajuan 464 Inisiatif yang merupakan dasar dan tindakan-tindakan spesifik yang dinyatakan dalam setiap janji.

“Sebanyak 53 Inisiatif atau 11.42 peratus telah ditunaikan dari 128 Inisiatif. Manakala 283 Inisiatif atau 60.99 peratus adalah di peringkat Dalam Perancangan atau Belum Mula,” kata perdana menteri.

Jelas Dr Mahathir prestasi ini menunjukkan peningkatan sebanyak 29.34 peratus berbanding 9.67 peratus pada 31 Disember 2018.

Beliau menggariskan satu per satu pencapaian kerajaan PH dengan memulakannya dengan reformasi undang-undang.

“Semua undang-undang yang zalim dan menekan rakyat sudah dibatal atau dihenti penguatkuasaannya. Pelaksanaan hukum bunuh dihenti sementara meneliti pendapat rakyat yang tidak semuanya bersetuju hukum ini dihapuskan,” kata Dr Mahathir.

Demikian juga undang-undang berkenaan berita palsu telah digantung sementara menunggu penghapusan serta media diberi kebebasan sepenuhnya tanpa perlu menunggu arahan dari Putrajaya seperti sebelum ini.

Janji untuk kembali kepada perjanjian Malaysia tahun 1963 telah dilaksana dan diperakui oleh Kerajaan Pusat dengan pengiktirafan Malaysia sebagai cantuman Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Kata Dr Mahathir lagi, pertumbuhan ekonomi juga masih berterusan dan tanda-tanda menunjukkan kepercayaan pelabur sudah meningkat.

Tambahan pula, katanya, Malaysia yang kekal stabil serta aman merupakan kejayaan besar bagi PH kerana ramai yang khuatir kononnya negara akan dilanda rusuhan kaum dan agama jika PH memerintah.

Menurut beliau, “The Rule of Law” atau pemerintahan mengikut undang-undang juga jelas diamalkan oleh PH serta pemisahan kuasa antara tiga pihak iaitu pembuat undang-undang, pelaksana pentadbiran dan kehakiman.

Inisiatif-inisiatif spesifik kesejahteraan warga Felda, masyarakat India dan kaum wanita turut dipergiatkan, katanya.

“Walaupun Kerajaan masih tidak berpuas hati dengan usaha untuk menempatkan lebih ramai wanita sebagai pembuat dasar, beberapa pelantikan memperlihatkan komitmen Kerajaan terhadap inisiatif ini,” jelas perdana menteri.

Dr Mahathir berkata, selain daripada beberapa jawatan penting dalam kabinet, buat pertama kalinya negara mendapat Timbalan Perdana Menteri wanita serta Ketua Hakim Negara wanita pertama.

Bank Negara Malaysia juga, kata beliau, sekali lagi diterajui oleh seorang wanita dan menambah kata beberapa syarikat berkaitan Kerajaan (GLCs) turut diterajui wanita manakala ramai pegawai tinggi kerajaan terdiri daripada wanita.

“Inisiatif-inisiatif untuk memberi peluang untuk anak-anak muda memainkan peranan penting dalam pembuatan dasar turut ditekankan. Kerajaan juga telah melantik seorang anak muda menjadi ahli Kabinet,” kata Dr Mahathir.

Selain itu, perdana menteri berkata, antara isu yang turut mendapat perhatian kerajaan ialah perumahan mampu milik, dengan antara strategi yang telah dilaksana ialah mewujudkan Majlis Perumahan Mampu Milik Kebangsaan yang menyatukan gerak kerja semua agensi berkaitan di bawah satu bumbung, serta dipengerusi oleh Perdana Menteri.

“Majlis ini, antara lain, akan mengambil langkah-langkah membina satu juta rumah mampu milik dalam masa dua penggal dan menyelenggara satu pengkalan data terbuka rumah mampu milik yang belum terjual, untuk mengelak penyembunyian maklumat oleh pemaju yang tidak bertanggungjawab,” jelas Dr Mahathir.

Beliau yakin inisiatif tersebut akan dapat membangunkan 100,000 rumah mampu milik bagi 2019.

Sumber: Bernama

Janji Kerajaan Pakatan Harapan Telah Dipenuhi Sebanyak 39.01 Peratus Dalam Masa Setahun 3

Infografik: Bernama

Janji Kerajaan Pakatan Harapan Telah Dipenuhi Sebanyak 39.01 Peratus Dalam Masa Setahun 4

Komen

komen





Source link