Artikel Terkini

Jim Simons, Ahli Matematik Terkaya Dunia


James Harris Simons atau Jim Simons, juga dikenali sebagai “Quant King”. Beliau mendapat gelaran tersebut setelah berjaya membangunkan sebuah hedge fund yang berjaya di dunia iaitu Renaissance Technologies atau singkatannya Rentech.

Syarikat hedge fund yang diasaskanya itu merupakan syarikat hedge fund yang secara konsisten memberi pulangan sebanyak 40% setiap tahun semenjak tahun 1988 lagi.

Beliau menduduki tempat pertama dalam senarai pengurus dana lindung nilai berpendapatan tertinggi Forbes dan berada di tempat ke-44 dalam senarai jutawan dunia Forbes.

Sebelum Rentech, Simons menghabiskan masa di National Security Agency (NSA) dan mengajar di Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan Harvard. Pada usia 44 tahun iaitu pada tahun 1982, beliau mengasaskan Renaissance Technologies.

Di sinilah bermulanya kisah di mana beliau telah berkhidmat sebagai ketua dan CEO. Pada tahun 2010, beliau mengundurkan diri dari jawatan sebagai ketua dan CEO tetapi tetap sebagai ketua bukan eksekutif.

Pasti anda tertanya-tanya bagaimanakah hidup beliau boleh berubah sehingga menjadi orang terkaya dunia bukan?

Kehidupan, Pendidikan Awal Dan Pengalaman Jim Simons

Jim Simons dilahirkan pada tahun 1938 di Brooklyn, Massachusetts. Beliau berminat dengan matematik sejak daripada usia yang kecil lagi. Pada usia 14 tahun, Simons bekerja di sebuah kedai bekalan kebun sebagai tukang sapu kerana masalah kurang daya ingatan.

Namun, beliau mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadi ahli matematik di MIT.

Pada tahun 1955, Simons diterima menjadi pelajar MIT dan mengambil jurusan matematik. Setelah menamatkan pengajian, Simons belajar di University of California di Berkeley untuk memperoleh gelaran doktor dalam matematik.

Hanya dalam masa satu tahun, beliau mendapat gelaran doktor pada usia 23 tahun iaitu pada tahun 1961.

Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran matematik di MIT dan Harvard. Institut Analisis Pertahanan (IDA) mengambil Simons bekerja pada tahun 1964, di mana beliau memainkan peranan penting sebagai pemecah kod (code breaker) semasa Perang Vietnam.

Simons meninggalkan IDA setelah empat tahun dan terus menjadi ketua jabatan matematik di Stony Brook University, di mana beliau membantu mengembangkan peranan penting dalam matematik dan fizik dan pada tahun 1978 dia mula menceburkan diri dalam bidang kewangan.

Kisah Kejayaan Jim Simons

Walaupun sudah mempunyai kerjaya sebagai pakar matematik dan pemecah kod induk untuk IDA, Jim Simons telah memilih untuk meneruskan kerjaya dalam bidang kewangan.

Pada tahun 1978, beliau memulakan tugasan dalam dana terhad Monemetrics. Simons tidak berfikir untuk menggunakan matematik pada mulanya namun, dari masa ke masa; beliau menyedari bahawa beliau dapat menggunakan matematik dan statistik bagi mentafsir data.

Menjelang tahun 1988, Simons memutuskan untuk menggunakan analisis kuantitatif semata-mata untuk menentukan perdagangan mana yang akan beliau beli. Simons mencari pakar dalam matematik, analisis data dan yang berkaitan dengan saintifik untuk bekerja dengannya.

Syarikat ini berkembang asbab formula matematik yang rumit yang telah dikembangkan oleh para saintis ini. Sejak daripada itu, beliau telah meraih pendapatan yang sangat luar biasa.

Nilai Bersih Dan Pengaruh Semasa

Jim Simons kini menduduki tempat ke-44 dalam senarai jutawan dunia Forbes pada 23 Oktober 2019 dengan nilai bersih sebanyak USD21.6 bilion.

The Simons Foundation dikhaskan untuk menyokong penyelidikan saintifik, pendidikan, dan kesihatan yang dibangunkan bersama-sama isteri beliau.

Simons telah menyumbang lebih daripada USD2.7 bilion untuk tujuan ini dan juga menyokong penyelidikan autisme.

Selain daripada itu, Jim Simons mengasaskan Math for America, yang bertujuan untuk mendorong guru matematik dan sains untuk tetap berperanan dan memajukan kemampuan mengajar mereka.

Kesimpulannya, Jim Simons mampu menjadi seorang yang terkaya hanya dengan minat dan hobinya iaitu ilmu matematik. Tanpa ilmu matematik tersebut, kemungkinan beliau tidak mampu memecahkan sebarang kod yang seterusnya membantu beliau menjadi seorang pelabur yang berjaya.

Sumber Rujukan: Investopedia

Baca lagi kisah inspirasi di 7 Tokoh Pelabur Bertaraf Bilionaire Yang Masih Lagi Hidup.

Iklan


Iklan



Source link